Seorang Lelaki Maut Terjatuh Dari PPR

| January 18, 2021 | 0 Comments

Seorang Lelaki Maut Terjatuh Dari PPR | Petaling Jaya – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di kawasan parkir motosikal di sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Wangsa Maju semalam.

Mangsa berusia 38 tahun lengkap berpakaian ditemui kira-kira pukul 10.30 malam oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, susulan maklumat tersebut sepasukan anggota dan pegawai telah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki dipercayai telah terjatuh dari sebuah blok di PPR terbabit.

“Menurut keluarga mangsa, dia dipercayai pergi ke sana (tempat kejadian) untuk melawat abangnya yang tinggal di blok tersebut.

“Semakan lanjut mendapati mangsa mempunyai buku rawatan susulan Jabatan Psikiatri dan Mental Hospital Kuala Lumpur (HKL),”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rajab Ahad berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke HKL untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan parah terjatuh dari
tempat yang tinggi.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Kes Kematian Mengejut (SDR).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Arita Mabni di talian 019-351 6695.

“Maklumat juga boleh disalurkan terus ke Ketua Polis Balai, Inspektor Mohd. Razif Abdul Aziz 010 -233 2777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *