Seorang Lelaki MENGAMUK Sebab Bunyi Hon Kereta. | Kulim: Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan polis selepas memecahkan cermin belakang sebelah kiri sebuah kereta menggunakan penukul besi di susur keluar Lebuhraya Butterworh-Kulum (BKE) Lunas, di sini , Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, suspek berusia 37 tahun dilaporkan berang selepas berbalas bunyi hon dengan kereta dipandu mangsa.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mangsa berusia 37 tahun yang sedang memandu Proton Wira miliknya dihampiri kereta jenis Nissan Almera dipandu suspek dari arah belakang menggunakan lorong kecemasan.

“Suspek cuba memotong kereta mangsa tetapi mangsa tidak memberikan laluan kepadanya. Lelaki terbabit terus membunyikan hon kepada mangsa seperti tidak berpuas hati. Mangsa turut membalas dengan membunyikan hon keretanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, sebaik tiba di susur keluar BKE Lunas, lelaki terbabit kemudian menyekat kereta mangsa di tepi jalan.

Katanya, suspek bergegas keluar dari kenderaannya itu dan memecahkan cermin belakang sebelah kiri kereta mangsa menggunakan penukul besi.

“Mangsa terus memandu keretanya ke balai polis malah suspek juga mengekorinya. Namun, suspek meninggalkan kawasan berkenaan selepas mangsa tiba di Balai Polis Lunas,” katanya.

Azhar berkata, susulan dari laporan yang dibuat mangsa, sepasukan pegawai dan anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menahan lelaki itu di sebuah rumah di Taman Mewah jam 2 petang semalam.

“Kereta suspek turut dirampas bagi membantu siasatan. Suspek yang bekerja sebagai peniaga itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dia bebas dari pengaruh dadah,” katanya.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 20 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply