Tapah: Lelaki meninggal dunia selepas dipercayai cuba memotong tembaga dalam bilik elektrik dekat Bidor Sand Plant , Kampung Coldstream, Bidor , semalam.
Mangsa berusia 27 tahun ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam yang kemudian melaporkan kejadian kepada pihak polis pada 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang memakai baju hijau dan berseluar jeans ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam bilik elektrik itu.
“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong tembaga dan pemeriksaan lanjut oleh petugas perubatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Wan Azharuddin berkata, terdapat kesan terbakar pada bahagian perut mangsa dan semakan rekod kesalahan lampau mendapati mangsa mempunyai lapan kesalahan jenayah termasuk narkotik.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Lelaki Digantung Kerja Krn Arah 2 Juta Liter Air Dipam Keluar Untuk Ambil Telefon Yg Jatuh
NEW DELHI, India – Seorang pegawai kerajaan di negeri Chhattisgarh digantung kerja selepas dikatakan meminta supaya air sebuah takungan dialir keluar bagi mendapatkan semula telefon bimbitnya yang terjatuh ketika dia merakam swafoto, lapor portal berita Wion News.

Rajesh Vishwas ditempatkan di pekan Pakhanjur, manakala media melaporkan bahawa kira-kira dua juta liter air dipam keluar dari takungan itu untuk mendapatkan telefon bimbit berharga sekitar 99,077 rupee (RM5,521).
“Pegawai itu tidak mempunyai kuasa untuk mengalirkan keluar air takungan. Oleh itu, dia telah digantung kerja,” kata seorang pegawai lain, Priyanka Shukla.
Shukla memberitahu akhbar The National bahawa Rajesh digantung kerja sehingga siasatan kesnya selesai. Air adalah sumber penting dan ia tidak boleh dibazirkan begitu sahaja.
Laporan media menyatakan, Rajesh pergi ke Takungan Air Paralkot untuk berkelah bersama rakan-rakan pada 21 Mei lalu tetapi telefon bimbitnya terjatuh ke dalam takungan sedalam 3.04 meter itu.
Laporan mendakwa bahawa pegawai itu berkata, telefon itu terlepas daripada tangannya semasa dia merakam swafoto. Rajesh terpaksa mendapatkannya semula kerana peranti itu menyimpan data rasmi jabatannya.
Sumber: KMN