MELAKA: Seorang pengacara majlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap ibu saudaranya dengan menggunakan cangkul kerana berebut tanah dalam satu kejadian minggu lalu.
Tertuduh, Johari, 48, berstatus pemastautin tetap dengan kad pengenalan merah, meminta dibicarakan sejurus dibacakan dan diterangkan mengenai pertuduhan itu kepadanya di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Jalilah Jalal, 60, dengan menggunakan cangkul, yang boleh menyebabkan kematian mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan rumah di Lot 672 Batu 6 1/2 Jalan Daeng Tawi Telok Mas, pada 10 Jun lalu, kira-kira jam 5 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal yang menjalankan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Beliau juga meminta mahkamah mengambil kira kecederaan dialami mangsa yang disahkan doktor iaitu cedera dan pendarahan pada otak, patah tulang pipi, dagu, tangan kiri dan rusuk serta pendarahan mata hingga dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka.
“Keadaan mangsa kritikal sehingga terpaksa ‘ditidurkan’ serta memerlukan alat bantuan pernafasan sehingga kini.
“Tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan saudara dan tinggal berdekatan, justeru pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi mengelakkan pertelingkahan berpanjangan antara keluarga mereka,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun berhujah panjang lebar memohon diberikan ikat jamin dengan alasan perlu menanggung isteri serta empat anak dan mendakwa kejadian berlaku kerana ingin mempertahankan anak-anaknya.
Dia juga mendakwanya pertelingkahan sudah lama berlaku dan ibu saudaranya itu menghidap penyakit dan hampir gila.
Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tidak membenarkan jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Julai depan.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOELH DIBACA
Kepala Dipukul Dgn Tukul Besi, Peniaga Cendol Disamun RM2,000 Di Bank
BERA – Polis berjaya menahan seorang penganggur kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun di sebuah bank dekat Kemayan di sini Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu seorang peniaga cendol berusia 60 tahun yang berada di dalam bank tersebut bagi melakukan urusan transaksi memasukkan duit ke mesin deposit tunai (CDM) telah disamun oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditahan di Jalan Besar Simpang Bukit Mendi kira-kira pukul 11.45 pagi, kelmarin.
“Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,015 serta pakaian suspek iaitu sehelai ‘sweater’ berwarna hijau, sehelai seluar panjang berwarna hijau, t-shirt berwarna biru, topi berwarna merah hitam dan sepasang selipar berwarna hitam.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pakaian yang dirampas itu adalah pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan seorang peniaga cendol cedera di kepala akibat dipukul dalam kejadian samun di sebuah bank dekat Kemayan di sini Isnin lalu.
Sejurus mangsa mengeluarkan wang, suspek telah mengeluarkan satu tukul besi yang disorokkan dalam baju bahagian hadapan dan bertindak menghayun senjata yang dipegang menggunakan tangan kanan ke belakang kepala mangsa.
“Apabila mangsa rebah, suspek terus merampas wang tunai berjumlah RM2,000 daripada tangan mangsa yang sedang terbaring sebelum melarikan diri,” ujarnya.
Sumber : KMN