Seorang Lelaki Terkejut Temui Mayat Di Tepi Jalan. | TANJONG KARANG – Seorang lelaki yang sedang mencari kain rentang berkaitan penjualan tanah terkejut apabila menemui mayat lelaki di kawasan semak di Lorong Cempaka Kampung Sungai Kajang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Toriman Marsaid, 66, menemui mayat lelaki itu dalam keadaan tertiarap.

Toriman berkata, dia berbasikal di kawasan berkenaan bagi mencari kain rentang berkaitan jualan tanah lot tetapi tidak menemuinya.

“Saya kemudian singgah ke kedai makan berhampiran sebelum berpatah balik ke tanah lot tersebut untuk mencari kain rentang terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Toriman, ketika leka mencari kain rentang, dia terlihat kain buruk di dalam semak.

“Saya ingatkan kain rentang (penjual tanah) buang di situ, saya terus tengok dan rupanya ada mayat di dalam semak.

“Saya mulanya nampak kaki dan kemudian keseluruhan badan mayat yang lengkap berpakaian,” katanya.

Ujar Toriman, dia kemudiannya keluar dari semak dan terus menghubungi talian MERS 999 untuk tindakan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan penemuan mayat tersebut.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut akan dijalankan setelah selesai proses bedah siasat.

“Kita akan siasat dulu kes ini sama ada terlibat dalam kemalangan jalan raya atau kes jenayah lain.

“Siasatan awal mengenal pasti mayat ditemui itu seorang lelaki, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya.

Mayat mangsa yang dibawa trak polis untuk dihantar ke hospital berhampiran bagi proses bedah siasat.

Sumber : SH

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

Penghantar surat dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar surat dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana meragut seutas rantai leher emas seorang wanita membabitkan kerugian RM10,000, dua bulan lepas.

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulizan Johari, 41, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes itu pada Selasa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 23 September lepas.

Zulizan didakwa meragut seutas rantai leher emas dengan tujuan hendak menyamun dan dengan sengaja menyebabkan ketakutan terhadap Shaleena Mohd Shah, 49, tukang cuci di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada 9 malam, 20 September lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang bertemu mangsa telah mencekik wanita itu lalu meragut rantai leher bernilai RM10,000 dipakai mangsa. Hasil siasatan mendapati, tertuduh kemudian menjual barang kemas itu di sebuah kedai emas pada harga RM5,500.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Share.

Leave A Reply