Seorang Lelaki Terpaksa Tahan Sakit Dipukul Bertubi-Tubi. | SEBERANG PERAI – Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan apabila dipukul bertubi-tubi dengan tangan dan senjata dipercayai rotan di sebuah rumah di Nibong Tebal di sini Ahad lalu.

pukul

Kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu tular di media sosial sejak semalam apabila dua video memaparkan mangsa yang memakai kemeja-T berwarna hijau dipukul oleh beberapa lelaki di kawasan ruang tamu rumah.

Video berdurasi 26 dan 44 saat yang dimuat naik di aplikasi sosial Facebook itu memaparkan mangsa turut dimarahi beberapa pelaku dalam bahasa Tamil sambil mangsa dilihat merayu-rayu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima dua laporan polis selain satu laporan pengadu bagi menarik balik laporan berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan diterima daripada mangsa.

“Hasil siasatan, kejadian berpunca akibat salah faham dan perasaan cemburu yang tidak terkawal.

“Mangsa dipukul dan mengalami kecederaan pada kepala dan lengan kanan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, polis telah menahan beberapa suspek yang terlibat dalam kejadian itu bagi siasatan lanjut.

“Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan. Ia telah lengkap dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihati tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan video itu atau membuat spekulasi,” katanya lagi.

S

Share.

Leave A Reply