KLANG – Seorang parah manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Sungai Putus, Kampung Batu Belah Klang di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 7.13 pagi.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dengan kekuatan seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 7.20 malam.

“Kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Proton Saga dan Perodua Kancil, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan sebuah motosikal dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Shah Alam berhampiran Sekolah Kebangsaan Batu Belah, Klang,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa tersepit melibatkan pemandu dan penumpang dua buah kereta yang terlibat iaitu Proton Saga dan Perodua Kancil.

“Pemandu Proton Saga berumur 48 tahun mengalami kecederaan parah dan patah kaki kiri, dua individu terdiri dari pemandu dan penumpang Perodua Kancil masing-masing berumur 47 tahun patah tangan kiri dan paha.

“Pemandu Nissan Navara berumur 20 tahun mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki kiri manakala penunggang motosikal berumur 29 tahun patah kaki kanan,” katanya.

“Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerusi kenyataan mengesahkan mengenai kejadian.

“Maklumat berkaitan kejadian akan dikongsikan sejurus siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

 

Baca Juga: Punca Nahas Kemalangan 10 Kenderaan, Pemandu Treler Tak Tekan Brek

Polis menahan pemandu sebuah treler kontena yang terbabit dalam nahas 10 kenderaan di Kilometer 307.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Gopeng malam tadi yang mengakibatkan lapan mangsa cedera.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata lelaki berumur 36 tahun dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu ditahan untuk siasatan lanjut selepas ia didapati gagal membrek hingga merempuh kenderaan yang berada di hadapannya.

“Saya baru dapat maklumat baharu berkaitan treler, ia (kemalangan) bukan disebabkan masalah brek tetapi ia berlaku apabila treler itu melalui jalan selekoh dan ia kemudiannya mendapati dan ternampak kereta telah bersusun berhenti akibat kesesakan, sementara pemandu treler itu tidak sempat brek kerana terlalu dekat.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada treler berkenaan yang tidak sempat brek dan melanggar tujuh kereta yang sedang berhenti di kawasan itu akibat jalan sesak,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu bagaimanapun mendapati dia negatif dadah serta alkohol. Suspek juga tidak cedera dalam insiden itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melaporkan, lapan cedera dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan termasuk dua treler di kawasan itu sekitar jam 11.06 malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata insiden menyebabkan lapan mangsa cedera manakala tujuh yang lain selamat dengan kesemua mangsa tidak dalam keadaan tersepit dan sudah keluar dari kenderaan masing-masing sebaik ketibaan bomba di lokasi.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply