Seorang Pemandu Rempuh Kereta Peronda Polis Ketika Ditahan.

| July 11, 2021 | 0 Comments

Seorang Pemandu Rempuh Kereta Peronda Polis Ketika Ditahan. | KUALA LUMPUR: Polis memburu pemandu kereta yang merempuh sebuah kenderaan peronda polis (MPV) ketika ditahan untuk pemeriksaan di Jalan PJS 7/9, Bandar Sunway, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 malam itu, anggota MPV terbabit sedang melakukan rondaan sebelum terserempak sebuah PROTON Iswara Aeroback dipandu seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan.

Kereta itu diarah berhenti dan ketika anggota MPV cuba membuat pemeriksaan, kenderaan itu tiba-tiba mengundur secara laju dan merempuh kenderaan polis sebelum memecut dari lokasi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata pasukan MPV mengejar kenderaan suspek dan berjaya disekat di susur keluar ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

“Bagaimanapun, suspek sekali lagi mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar kenderaan MPV untuk kali kedua.

“Pelanggaran kali ini menyebabkan kenderaan MPV rosak teruk di bahagian hadapan dan tidak dapat bergerak, dan suspek berjaya meloloskan diri dengan kenderaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sejurus kejadian itu, hebahan dibuat untuk menggerakkan semua elemen yang berada di lapangan untuk mengesan dan menangkap suspek. Sehingga kini suspek dan kenderaannya belum ditemui

“Siasatan awal mendapati kenderaan yang digunakan suspek pernah dilaporkan hilang pada 21 Jun lalu di Batu 9, Cheras,” katanya.

Abd Khalid berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam).

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan (mengingkari perintah oleh penjawat awam) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara melulu).

Pihak polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini atau kenderaan yang digunakan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343.

Sumber : BH

Tags: , , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *