Seorang Pemilik Kebun Ditemui M4ti. Kaki & Tangan Berikat. | PORT DICKSON – Seorang pemilik kebun ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangan berikat di sebuah kebun buah naga Site A, Tanah Merah di sini semalam dipercayai bermotifkan dendam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis menerima laporan tentang kematian mangsa seorang lelaki berusia 44 tahun pada pukul 2.52 petang oleh bapanya.
“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap tidak berbaju dan hanya memakai seluar warna hitam, manakala kedua-dua belah tangan dan kaki berikat dengan tali selain terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan belakang badan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Aidi Sham, pemeriksaan mendapati barangan lain milik mangsa iaitu sebuah telefon bimbit dan motosikal jenis SM Sport tidak dijumpai disyaki telah dilarikan oleh suspek.
“Hasil temubual dengan keluarga, mangsa ada mengambil seorang pekerja warganegara Myanmar yang bekerja lebih kurang dua minggu, namun butiran peribadi tidak diketahui dan telah menghilangkan diri,” katanya.
Jelas Aidi Sham, bertindak atas maklumat, pada pukul 11.40 pagi tadi, sepasukan polis diketuai Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS) dibantu Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek empat lelaki warganegara Myanmar berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun di Shah Alam, Selangor.
“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson esok untuk proses tahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
Mayat Ditemui Di Andes Disahkan Wanita Hilang 41 Tahun Lalu
Satu mayat yang ditemui di pergunungan di Andes, Amerika Selatan baru-baru ini disahkan seorang wanita yang hilang pada 41 tahun yang lalu, lapor Metro UK.
Imbas kembali, wanita berkenaan dikenali sebagai Marta Emilia Altamirano yang mesra dengan panggilan Patty hilang semasa eskpedisi di Andes pada Mac 1981.
Susulan itu, sekurang-kurangnya empat ekspedisi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan untuk menjejakinya tetapi tiada satu pun yang berjaya.
Namun pada 28 Januari tahun ini iaitu kira-kira 41 tahun kemudian, satu mayat telah ditemui tersekat pada glasier tertinggi banjaran Cordillera de la Ramada.
Pada mulanya, mayat itu disyaki seorang wanita berusia antara 18 sehingga 30 tahun tetapi selepas disahkan identitinya, ia adalah Patty yang hilang 41 tahun lalu.
Pada 23 Mac 1981, Patty dikatakan mendaki gunung bersama kakaknya, Corina bersama seorang pendaki berpengalaman, Sergio Bossini.
Difahamkan, mereka mula mendaki selama empat hari sebelum berhenti dan mendirikan khemah pada ketinggian lebih 5,000 meter sekitar 7 malam.
Pada malam itu, Patty dipercayai pergi meninjau keadaan sekeliling seorang diri tapi malangnya, dia dikatakan tergelincir ratusan meter ke bawah disebabkan cerun berais.
Disebabkan Patty tidak pulang ke khemah (setelah lama meninjau), Corina dan Sergio bertindak untuk mencarinya sepanjang malam sebelum kembali ke khemah mereka.
Pada keesokan paginya mereka merancang untuk terus mencari jejak Patty namun dalam masa sama, mereka tidak tahu bahawa wanita itu sudah pun meninggal dunia.
Bagaimanapun hasrat mereka untuk mencarinya gagal kerana suhu sejuk, cuaca teruk dan keadaan tidak mengizinkan hingga terpaksa memohon bantuan pihak kecemasan.
Mereka melaporkan kehilangannya pada 29 Mac berikutnya dan pasukan SAR dikerahkan ke lokasi kejadian.
Namun waktu itu, mayat Patty yang tertimbus di bawah litupan ais sudah pun mula membeku.
Sehinggalah pada 28 Januari lalu ketika satu mayat ditemui, empat adik-beradiknya dipanggil untuk melakukan pengecaman identiti.
Difahamkan mereka mengesahkan identiti mayat berkenaan melalui pakaian dan barangan yang dikenakan olehnya ketika sebelum kejadian.
Tambahan pula hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) turut mengesahkan bahawa mayat yang ditemui itu adalah seorang wanita muda.
Corina berkata bahawa mereka berempat dapat mengetahui itu adalah dia. Ia seperti perasaan yang lega selepas mengetahui perkara itu adalah benar.
Corina menjelas bahawa kini dapat rasakan ketenangan dan kedamaian yang mendalam.
Tambah keluarga itu lagi, mayat Patty akan dibawa ke Tucuman supaya saudara-mara yang lain boleh mengucapkan selamat tinggal sebelum membakarnya.
Malah, mereka (keluarga) merancang untuk menaburkan abu mayat Patty ke atas gunung Andes, kerana itu adalah ‘keinginannya’.
Sumber: Siakap Keli