Pengasas juga mudir sebuah pusat tahfiz, di sini, berdepan lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya.
Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, warga Singapura, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh
bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 3 dan Mahkamah Sesyen 2, yang didengar Hakim, Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan tiga kertas pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya, masing-masing berusia 13 tahun sembilan bulan, 14 tahun dan 15 tahun.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik di rumah guru Pusat Tahfiz Al-Islah Tanjung Minyak pada 20 Julai 2022 dan Mac lalu .
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Bagi dua pertuduhan lagi, tertuduh didakwa sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap dua mangsa sama berusia 13 tahun sembilan bulan dan 14 tahun, di tempat sama, Mac lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebat.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.
Peguam tertuduh, Fahmy Sulaiman, merayu jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung dua isteri dan enam anak berusia setahun setengah sehingga 13 tahun.
Hakim Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi dua pertuduhan.
Manakala Hakim Mohd Sabri tidak membenarkan jaminan selepas bersetuju dengan hujahan Muhammad Nazrin bahawa tertuduh pernah didakwa pada 2019 atas kesalahan sama, namun dia dilepas tanpa dibebaskan.
Mohd Sabri berkata, jelas bahawa apabila tertuduh dilepaskan dengan jaminan, dia mengulangi kesalahan sama tahun ini.
Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 Jun depan.
Media sebelum ini melaporkan, dua suspek iaitu pemilik atau mudir pusat bimbingan al-Quran berusia 40 tahun dan adik lelakinya yang juga warden asrama berusia 36 tahun, ditahan di pusat tahfiz itu di Tanjung Minyak, di antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari.
Penahanan itu susulan polis menerima enam laporan dibuat ibu bapa enam pelajar terbabit di Balai Polis Batang Tiga, di sini.
Sumber : BuletinTV3
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Seorang Lelaki Kena Tahan Rakam Aksi Ibu Lakukan Amang Seksual Dgn Anak Sendiri
Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat merakam adegan amang seksual fizikal membabitkan ibu dan anak lelakinya berusia 14 tahun di Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, suspek yang bekerja sendiri itu ditahan Jumaat lepas di sekitar Puncak Alam, Selangor bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki berumur 25 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pemerasan dan rogol.
“Kita turut merampas telefon bimbit suspek yang disyaki digunakan untuk merakam hubungan dua beranak berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama TV pada Rabu.
Pada 4 Mei lepas, Bernama melaporkan seorang ibu direman bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.
Sementara itu, Ramli berkata lelaki berkenaan juga diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual anak perempuan kepada wanita terbabit yang berusia 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, kes berkenaan telah dilaporkan pada 8 Mei lepas dan lelaki itu diperlukan bagi membantu siasatan kes.
Sumber : KMN