Seorang Pengawal Keselamatan Maut Dalam Kemalangan 3 Kenderaan. | REMBAU: Seorang pengawal keselamatan maut selepas terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 25.5 Jalan Seremban-Tampin, di sini, petang semalam.

Nahas

Mangsa, Mohd. Azhar Endin, 37, beralamat di Kampung Bari, Inas, Johol, Kualq Pilah, disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Hospital Rembau pada pukul 8.05 malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan kira-kira pukul 4.50 petang itu membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang mangsa, sebuah motosikal jenis SYM 185 ditunggang penghantar makanan lelaki berusia awal 20-an dan kereta jenis Perodua Bezza dipandu wanita berusia lewat 30-an.

“Berdasarkan siasatan awal, ketika di tempat kejadian, mangsa telah memberi isyarat sebelah kanan untuk masuk ke simpang Jalan Tanjung Sena Hilir 3 dan berhenti seketika untuk memberi laluan kepada kenderaan dari arah bertentangan.

“Tiba-tiba mangsa telah melanggar motosikal ditunggangi penghantar makanan dari arah belakang dan mangsa terjatuh dari motosikalnya.

“Pada masa yang sama, pemandu kereta dari arah belakang tidak dapat mengelak dan terlanggar mangsa serta motosikal tersebut. Mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan di zon merah, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian akibat kecederaan patah tulang rusuk serta dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazri berkata, mayat mangsa dibedah siasat pagi tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

SUmber : UM

Share.

Leave A Reply