Seorang Terbvnuh SUV Rempuh Kedai Apple | Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh sebuah kedai peralatan elektronik Apple, menyebabkan seorang mangsa maut serta mencederakan beberapa yang lain, lapor akhbar Metro UK.

Kenderaan jenis Toyota 4Runner berwarna hitam itu merempuh premis yang terletak di bandar Hingham, negeri Massachusetts, sejurus sebelum pukul 11 pagi (waktu tempatan) semalam.

Seorang lelaki meninggal dunia, manakala 16 yang lain cedera dalam insiden yang dikategorikan sebagai ‘jenayah’, kata Peguam Daerah Plymouth, Tim Cruz.

Rempuhan itu menyebabkan lubang besar terbentuk pada cermin bahagian hadapan kedai. Kenderaan itu kemudian tersekat pada bahagian dinding belakang kedai, mengakibatkan sebilangan pelanggan terperangkap di dalam premis itu.

Menurut laporan, 16 mangsa yang cedera dibawa ke Hospital South Shore dan dua lagi dikejarkan ke hospital lain di kawasan Boston.

“Sukar untuk digambarkan keadaan pagi ini dan orang ramai masih keliru melihat apa yang telah berlaku.

“Siasatan sedang dijalankan dan kami tidak dapat memaklumkan banyak perkara ketika ini,” kata Cruz.

Beberapa mangsa yang cedera dirawat di luar kedai oleh petugas kecemasan sejurus selepas kejadian berlaku dengan sebuah helikopter perubatan dikerah ke lokasi tersebut.

Polis turut menghubungi trak tunda untuk mengalihkan kenderaan SUV terbabit yang masih berada di dalam premis pada pukul 1.30 petang (waktu tempatan).

Menurut seorang saksi, Frank O’Brien, dia terkejut melihat bagaimana kenderaan tersebut dipandu laju dan merempuh kedai Apple itu.

“Pemandunya pasti memandu dengan amat laju yang menyebabkan dia merempuh kedai Apple itu sehingga ke bahagian belakang kedai,” katanya.

Sumber : Kosmo

Baca juga artikel ini :

Kereta Terbabas Sebelum Hangus Terbakar Akibat Jalan Licin | Jalan licin menjadi punca yang menyebabkan sebuah kereta terbabas lalu terbakar di Kilometer 9.2 Lebuhraya Seremban – Port Dickson awal pagi tadi.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, PBK 11, Mohammad Rosman Md Nor berkata, pemandu yang juga mangsa, Khairisyahrin Mukhtar, 45, selamat tetapi rakannya cedera ringan di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“Kami dimaklumkan kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki bersama rakannya nyaris hangus selepas kenderaan itu terbabas dan terus terbakar.

“Pihak bomba menerima laporan pada jam 6.49 pagi dan sampai ke lokasi 10 minit kemudian yang jaraknya sejauh 9.2 kilometer menghala ke Seremban,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta terbakar membabitkan kerosakan 100 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius kepada mangsa dan bomba menggunakan dua aliran salur bagi membantu bagi memadamkan kebakaran.

“Api dapat dikawal dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.

“Saya bersama rakan terus keluar daripada kenderaan kerana bimbang berlaku letupan kerana api tiba-tiba marak menyala.

“Dengan bantuan salah seorang pengguna jalan raya yang menghubungi bomba bagi memadamkan kebakaran itu namun keadaan kereta musnah teruk tetapi yang lebih penting saya dan rakan selamat,” katanya.

Diharapkan semua pengguna jalan raya memandu secara berhati-hati dan berhemah jika mendapati jalan raya yang digunakan licin bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply