Seorang Tukang Kasut Didakwa BVnuh Anak. | Kuala Lumpur: Tukang kasut yang bertindak kejam dengan mendera anak perempuannya sehingga maut sebelum menanam mayat mangsa di tepi jalan di Jalan Bellamy dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh.

Tertuduh, Mohd Yasin Malik, 40, turut didakwa menyimbah seorang lagi anak dan teman wanitanya dengan air panas yang menggelegak daripada cerek sehingga melecur di bahu dan lutut.

Kedua-dua anak perempuannya yang berusia sembilan dan lima tahun itu juga adalah warganegara Indonesia hasil bersekedudukan dengan teman wanitanya yang hanya dikenali dengan nama Suma.

Lelaki itu yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, hanya menangguk tanda memahami tuduhan membunuh anak perempuannya pada jam 9 malam, 9 Disember lalu di sebuah rumah di Jalan Pudu, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya B Sareeka manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Yasin yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Majistret Wong Chai Sia kemudian menetapkan pada 21 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, bagi tuduhan mencederakan teman wanitanya di tempat sama pada jam 1 pagi 8 Disember lalu, Chai Sia menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas Mohd Yasin selepas lelaki itu mengaku salah.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa

mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Di Mahkamah Sesyen pula, Mohd Yasin turut mengaku salah menyimbah air panas ke atas anak bongsunya berusia enam tahun enam bulan pada 1 Disember lalu dan Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan pada 9 Januari ini bagi jatuh hukum.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar.

Media sebelum ini melaporkan, seorang bapa ditahan polis kerana disyaki mendera anaknya hingga mati sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah di sini, bagi menyembunyikan jenayahnya.

Perbuatan kejam suspek itu terbongkar selepas polis menerima aduan teman wanita suspek memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun didera teman lelakinya.

Teman wanita suspek yang juga seorang warga asing berusia 41 tahun, membuat laporan selepas mendapati anak yang berusia sembilan tahun dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya, sebaik pulang bekerja.

TERDAHULU DILAPORKAN, Seorang bapa ditahan kerana disyaki mendera anaknya hingga meninggal dunia sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah, di sini bagi menyembunyikan perbuatannya.

Perbuatan kejam suspek itu terbongkar selepas polis menerima aduan isteri suspek pada Jumaat lalu memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun didera oleh suaminya.

Isteri suspek yang juga seorang warga asing berusia 41 tahun membuat laporan selepas mendapati anak yang berusia sembilan tahun dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya sebaik pulang bekerja kira-kira jam 7 malam, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku di kediaman keluarga itu di Jalan Pudu di sini, dan pengadu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mendakwa suaminya ada memukul anaknya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian.

Sebaik menerima aduan, sepasukan anggota polis bersama pengadu ke rumah suspek untuk mengambil anaknya yang ditinggalkan namun anak serta suaminya tiada di rumah.

Berikutan itu, pihak polis menjalankan usaha mengesan suspek sebelum dia berjaya dikesan dan ditangkap di Jalan Pasar Pudu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan kejadian dan memaklumkan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek yang juga seorang penganggur, mengaku menanam mayat anaknya di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini.

Suspek kini direman tujuh hari dan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Noor Dellhan meminta orang ramai terutama ahli keluarga atau jiran supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang kes dera yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau jiran masing-masing.

 

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply