Seorang Wanita Hamil Maut Dan Bayi Dlm Kandungan Berjaya Diselamatkan. | SIK: Seorang wanita yang sarat mengandung maut apabila cuba mengelak ular dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang di Jalan Jeniang Sik-Pedu, kira-kira pukul 4.30 petang, semalam.

Mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, yang berasal dari Bandar Baru Beris Jaya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda Wave Alpha ditungganginya bergesel dengan sebuah kereta dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa menaiki motosikal itu bersama seorang lagi wanita, namun mangsa kedua hanya mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Daerah Sik.

Katanya, kandungan wanita itu yang masih bergerak ketika kejadian berjaya diselamatkan selepas mangsa dibawa segera ke hospital untuk mengeluarkan bayinya.

“Wanita itu mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk mukanya. Bayi lelaki yang juga anak keduanya itu kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.

“Dalam kemalangan itu, mangsa cuba mengelak seekor ular yang keluar secara tiba-tiba di bahu kiri jalan, lalu menyebabkan dia memasuki laluan kereta dan berlaku pelanggaran di bahagian sebelah kiri kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Abdull Razak memaklumkan, pemandu kereta jenis Perodua Axia iaitu seorang lelaki berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan ketika dia sedang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Enggang untuk mengambil anaknya yang bekerja di situ.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : UM

 

 

BERITA KEMALANGAN LAIN

 

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu tersepit, dua mengalami kepatahan manakala tujuh lagi cedera ringan apabila van kilang yang mereka naiki terbabas dan melanggar tiang di sini, awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, kejadian itu berlaku di Kilometer (KM) 151.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Jalan Bukit Tambun-Juru di sini.

Kata beliau, pihaknya menerima panggilan mengenai nahas itu kira-kira pukul 6.38 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa yang terlibat terdiri daripada lapan wanita serta dua lelaki termasuk pemandu van yang turut mengalami kepatahan akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Ujar jurucakap itu, komander operasi kemudian membuat kerja-kerja penilaian atau ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota yang lengkap dengan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 7.34 pagi manakala mangsa lain turut berjaya dikeluarkan serta diberikan rawatan awal oleh pegawai kesihatan dan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan).

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya menggunakan tiga buah ambulans KKM dan sebuah ambulans EMRS bagi rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, operasi menyelamat nahas itu tamat kira-kira pukul 7.47 pagi sebelum kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply