Seorang Wanita Maut Basikal Bergesel Dengan Treler.

| July 17, 2021 | 0 Comments

Seorang Wanita Maut Basikal Bergesel Dengan Treler. | TANJUNG MALIM: Seorang penunggang basikal terbunuh setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 104, Jalan Persekutuan dekat Slim River di sini hari ini.

Nahas pada pukul 8.10 pagi berhampiran lampu isyarat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River itu mengakibatkan mangsa, A. Rajamah, 58, parah dan maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, ketika kejadian, wanita tersebut dalam perjalanan dari Behrang menuju ke Sungkai sebelum sebuah treler dari arah belakang bergesel dengan basikal mangsa.

Katanya, ketika kejadian kenderaan berat itu hendak masuk ke simpang kiri jalan.

“Ketika hendak masuk ke simpang kiri jalan, treler berkenaan telah bergesel dengan basikal mangsa menyebabkan wanita itu terjatuh di atas jalan.

“Mangsa yang parah maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya di sini.

Menurut beliau, pemandu treler itu tidak memberhentikan kenderaan di lokasi nahas sebaliknya meneruskan perjalanan ke kilang di Besout.

Katanya, operasi mengesan lelaki berusia 39 tahun itu segera dijalankan dan dia ditahan di tempat kerjanya di kilang sawit untuk siasatan lanjut.

“Rakaman percakapan lelaki itu telah diambil selain beberapa saksi yang melihat kejadian tersebut telah dikenal pasti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : UM

Tags: , , , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *