Seorang Wanita Nekad Terjun Dari Kereta Selepas Disamun | Seorang wanita warga emas nekad untuk terjun dari kereta selepas dirinya disamun oleh dua lelaki yang tak dikenali selepas selesai membeli barang di sebuah kedai serbaneka.

Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 60 tahun berdepan detik mencemaskan apabila dia dilarikan dua penjenayah sebelum disamun dalam kejadian di Cyber City, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa yang dikatakan baru selesai membeli barangan di kedai serbaneka sebelum masuk ke dalam keretanya.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba seorang lelaki masuk dari pintu belakang sebelum mengarahkan mangsa untuk berpindah tempat duduk di belakang. Manakala seorang lagi lelaki masuk ke tempat duduk pemandu dan terus memandu kenderaan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu , Superintendan George Abd Rakman berkata, ketika berada di dalam kenderaan, mangsa dipaksa membongkok sepanjang perjalanan.

Katanya, suspek turut mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang dipakainya.

“Mangsa yang bimbang keselamatannya terpaksa menyerahkan semua barangan berharga kepada suspek.

“Mangsa mendakwa selepas kira-kira sejam perjalanan, dia merayu supaya dibenarkan duduk kerana sakit belakang,”ketika dihubungi hari ini.

George berkata, sebaik diberikan kebenaran duduk, mangsa bertindak nekad membuka pintu kereta dan terjun keluar.

Katanya, mangsa kemudian diselamatkan orang awam di lokasi sebelum dibawa membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“Mangsa hanya mengetahui dia berada di daerah Papar selepas dimaklumkan orang awam yang membantunya.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM 17,000,”katanya.

George berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmar Zulfairie Ismail di talian 013-261 8487.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply