Serbu Mini Kasino, Anggota Polis Cedera Tercucuk Pagar | Kuching: Anggota polis cedera ketika melakukan serbuan di sebuah rumah berkembar yang dijadikan sebagai mini kasino di Jalan Foochow di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, anggota berusia lingkungan 30-an itu cedera di bawah lengan kiri selepas tercucuk pagar di rumah dua tingkat berkenaan.

“Anggota terbabit kemudiannya dikejarkan ke hospital dan dibenarkan berehat di rumah selepas menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 5 petang itu, sembilan lelaki berusia 17 hingga 28 tahun ditahan.

Polis turut merampas pelbagai peralatan judi dalam serbuan mini kasino itu antaranya 413 keping cip, 104 keping daun terup, dua meja permainan Texas Poker dan sebuah buku rekod transaksi perjudian.

“Aktiviti mini kasino itu dikenal pasti dijalankan hampir enam bulan lalu dan hasil pemeriksaan mendapati premis itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan dan belakang rumah yang juga berpagar dengan ketinggian lebih dua meter.

“Pemeriksaan mendapati tiada pertukaran wang tunai dijalankan di lokasi dan difahamkan, wang kemenangan akan dikreditkan terus ke akaun pemenang,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sumber : HMetro

Share.

Leave A Reply