Sertai Geng Husen Maungdaw, Pegawai Imigresen Dan 13 Rohingya Antara Yang Didakwa

| July 2, 2020 | 0 Comments

Sertai Geng Husen Maungdaw, Pegawai Imigresen Dan 13 Rohingya Antara Yang Didakwa | Seramai 16 lelaki termasuk seorang pegawai imigresen Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen di Georgetown, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Husen Maungdaw’, sejak September 2019.

Kesemua tertuduh yang berusia 26 hingga 55 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam daerah Timur Laut, antara September 2019 hingga 17 Jun lalu.

Tertuduh termasuk 13 rakyat Rohingya itu ialah Syed Husen Syed Ahmed, 39; Mohd Ayas Hussain, 39; Mohamad Rafik Abdul, 35; Mohamad Ayub Sunail, 55; Karim Oli Ahmad, 26; Shamsul Alam Zakaria, 38; Mohammad Rashid Mohd Shobir, 30; Nor Mustafa Kaloo, 40; Mohd Hashim Osi Rahman, 39; Mohamad Zubir Abd Shukur, 44; Nur Mohamed Mugul Ahmed, 37; Mohiddin Mohd Rafiq, 48, dan Abdullah @ Maung Hla Wing yang juga pemegang status penduduk tetap berusia 42 tahun.

Baki tiga lagi tertuduh adalah warga tempatan ialah pegawai imigresen Kedah, Mohammad Jafnizal Mohammad Jafferi, 34; Amran Che Man, 42, dan Omar Rashid, 43.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim manakala peguam, Datuk Naran Singh, Mohd Rafiee Nordin, Abdul Rahim Md Yusuf, Norizan Yaacub, P. Selvaraj, Y. Anbananthan dan V. Parthipan mewakili 12 tertuduh.

Sementara empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *