Sorok Heroin, Syabu Dalam Mesin Basuh Lama | Tindakan seorang lelaki menyorok wang tunai dan dadah jenis heroin serta syabu bernilai RM10,723 di dalam mesin basuh lama di rumahnya terbongkar apabila ditemui anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), semalam.

Sorok Heroin, Syabu Dalam Mesin Basuh Lama

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata ketika kejadian anggota bertugas membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Petai, Bukit Tuku, Pasir Mas pada jam 11 malam kelmarin.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, anggotanya telah menahan dua lelaki berusia 30 tahun yang juga merupakan pemilik kediaman berkenaan manakala seorang lagi berumur 27 tahun dan berada di hadapan rumah terbabit.

Menurutnya, anggotanya telah melakukan pemeriksaan badan ke atas badan kedua-dua suspek, namun tidak menemui barangan salah sebelum meneruskan pemeriksaan di dalam dan luar rumah.

Turut ditahan, tiga orang wanita berusia 16, 21 dan 50 tahun yang berada di bahagian ruang tamu.

Namun, sebaik sahaja pemeriksaan di luar rumah dilakukan, anggota menemui sebuah mesin basuh lama yang mana di dalamnya ditemukan wang tunai RM1,460, heroin sebanyak 12.82 gram bernilai RM641 serta syabu seberat 86.22 gram bernilai RM8,622.

Azhar berkata, kesemua barangan dirampas dan kelima-lima suspek lelaki serta wanita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Berita Harian 

Share.

Leave A Reply