SPRM: kes Kutip Wang Perlindungan Nelayan, 3 Ditahan | Tiga individu termasuk dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis bagi membantu siasatan berhubung meminta suapan rasuah sebagai perlindungan kepada bot nelayan di perairan Perlis.
Suspek ditahan di tiga lokasi berbeza di Kangar, Sandakan dan Kota Kinabalu di mana dua suspek anggota APMM itu pernah bertugas di Zon Maritim Langkawi sebelum ditukarkan ke Sabah pada Februari lalu.
Dalam perkembangan sama, salah seorang suspek yang ditahan yang juga seorang pengurus syarikat perikanan di Kuala Kedah direman sehingga esok.
Sumber SPRM berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan kerana dipercayai menjadi ‘orang tengah’ kepada suspek anggota APMM dalam meminta rasuah antara RM1,000 hingga RM2,800 daripada beberapa pemilik atau ‘tauke’ bot nelayan di sekitar perairan Langkawi untuk tidak diambil sebarang tindakan sekiranya melakukan kesalahan.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Satu Kangar, selepas suspek dibawa ke mahkamah itu petang ini.
Siasatan awal mereka mendapati suspek disyaki meminta suapan antara RM1,000 hingga RM2,800 daripada beberapa pemilik atau ‘tauke’ bot nelayan berkenaan sejak 2021.
Katanya, suspek APMM yang ditahan di Sandakan adalah berpangkat Laskar Kanan Maritim dengan gred T44 berusia 31 tahun manakala rakannya pula adalah anggota APMM berpangkat Bintara Kanan berusia 40 tahun.
Katanya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penahanan berkenaan.
Terdahulu, suspek ditangkap di Pejabat SPRM Perlis di Kangar jam 5 petang semalam selepas dibawa dari pejabatnya untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Sehingga kini sembilan individu tujuh daripadanya anggota APMM ditahan bagi membantu siasatan meminta suapan rasuah daripada pemilik dan ‘tauke’ bot sekitar perairan Perlis dan Langkawi.
Sumber: Berita Harian
Artikel Lain
Sorok Ratusan Bilion, Bekas Menteri Kewangan Disiasat SPRM
Seorang bekas Menteri Kewangan dan beberapa individu kenamaan lain antara disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan ‘Pandora Papers’ yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta luar biasa di luar negara.
Difahamkan, menteri berkenaan sudah diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Sumber yang dilapor BH berkata, siasatan ketika ini adalah menjurus kepada kekayaan luar biasa yang dimiliki beberapa individu dan kaitan dengan syarikat luar pesisir di luar negara.
SPRM juga menyiasat, adakah terdapat hubung kait kewangan yang dimilik hasil daripada tender dan projek kerajaan.
Setakat ini juga, difahamkan tiada pembekuan aset dilakukan oleh SPRM.
Malah ramai lagi individu termasuk bekas menteri dan keluarga yang mempunyai kaitan dengan dakwaan ‘Pandora Papers’.
Sementara itu, usaha BH untuk menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika ini masih belum berhasil.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.
Beliau pada sesi Parlimen 2021, berang malah menuduh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul itu, malah mendakwa, Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai ‘peguam bela’ kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.
Anwar berkata, pendedahan `Pandora Papers’ itu perlu dibentang dan dibahaskan dengan segera kerana wujud dakwaan menyatakan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, mencecah ratusan bilion.
Katanya, ia wajar dibahaskan segera kerana ia bukan saja membabitkan Pandora Papers, tetapi juga laporan Global Financial Integrity 2012 serta pendedahan Panama Papers pada 2015.
Pendedahan Pandora Paper menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia termasuk empat ahli politik di antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.
Sumber : Harian Metro