Suami Hampir Tikam Anak, Berebut ‘Remote’ Televisyen

| August 6, 2020 | 0 Comments

Suami Hampir Tikam Anak, Berebut ‘Remote’ Televisyen¬†| Hanya kerana alat kawalan jauh televisyen, seorang lelaki hilang pertimbangan apabila mahu menikam leher anaknya berusia lapan tahun dalam kejadian di Taman Seri Kionsom, Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, anggota polis terpaksa mengambil masa lebih dua jam bagi menenangkan lelaki berusia 36 tahun itu yang mengugut mahu menikam leher anaknya menggunakan pemutar skru.

Difahamkan suspek yang dibawah pengaruh syabu bertindak demikian kerana berang selepas berebut alat kawalan jauh televisyen itu dengan isterinya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika kejadian, suspek memaut leher anak lelakinya itu sambil beberapa kali menghentak pemutar skru ke kepala kanak-kanak berkenaan.

Katanya, suspek turut mengugut anggota polis supaya tidak mendekatinya dan mengancam akan menikam anaknya.

“Suspek berkeras tidak mahu melepaskan anaknya yang ketika itu ketakutan.

“Polis terpaksa menggunakan kaedah psikologi bagi menenangkan suspek sebelum dia menyerahkan pemutar skru dan menyerah diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, suspek dibawa ke Balai Polis untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah syabu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes suspek menetak isterinya kira-kira dua bulan lalu.

“Kes sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Suspek turut mempunyai dua kes dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *