Suami Isteri Cemas Cermin Kereta Pecah Ditembusi ‘Objek’ | Kemalangan yang melibatkan kenderaan semasa memandu seringkali berlaku dan kita sendiri tidak tahu punca sebenar kemalangan itu.

Suami Isteri Cemas Cermin Kereta Pecah Ditembusi 'Objek'

Kluang : Pasangan suami isteri berdepan dengan detik cemas apabila cermin sisi kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka pecah akibat ditembusi objek yang belum dikenal pasti ketika melalui Jalan Kampung Batu 7, Renggam-Simpang Renggam, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 7.40 malam itu, pasangan yang berusia lingkungan 30-an itu dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke Kluang.

Ketika pengadu memandu kereta jenis Perodua Alza bersama isterinya, mereka terdengar bunyi hentakan yang sangat kuat di tingkap  sebelah kanan kereta.

Pengadu kemudiannya memberhentikan kenderaannya berhampiran sebuah premis dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati cermin sisi hadapan kanan dan kiri retak serta terdapat kesan lubang tembus kecil yang disyaki sesuatu daripada ketulan keras.

Low Hang Seng berkata, siasatan yang dijalankan dengan bantuan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Kotinjen (IPK) Johor bagaimanapun tidak menjumpai sebarang punca serpihan peluru atau ‘bearing’ yang boleh dikaitkan dengan sebarang senjata.

“Walau bagaimanapun siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti objek yang menyebabkan cermin kereta pengadu pecah.

“Dalam kejadian ini pengadu dan keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan ia boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jelasnya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dan aduan yang ingin disalurkan boleh menghubungi talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822.

Sumber : Berita Harian 

 

Share.

Leave A Reply