Suami Lemas Di Tasik Kenyir, Isteri Cerita Perkara Pelik Sebelum Kejadian.

| March 29, 2021 | 0 Comments

Suami Lemas Di Tasik Kenyir, Isteri Cerita Perkara Pelik Sebelum Kejadian. | Seorang lelaki yang lemas ketika berbulan madu di tasik kenyir belum ditemui, isteri mangsa kongsi perkara dan tingkah laku pelik sebelum kejadian. Baca selanjutnya..

GURAU KAIN KAPAN DALAM KERETA

Kuala Berang: “Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya apabila melihat suami terkapai-kapai meminta tolong, sedih sangat, masih terbayang-bayang lagi peristiwa itu,” kata Syarifah Ramli, 19.

Syarifah terkilan kerana tidak dapat membantu menyelamatkan suami, Ami Azzizol Bakri, 21, yang dikhuatiri lemas di Sungai Petuang, Jeram Harinau, Tasik Kenyir, di sini, Sabtu lalu.

Dia yang mesra dipanggil Efa berkata, peristiwa menyayat hati itu berlaku di hadapan mata, namun tidak berdaya untuk membantu.

“Saya akan tunggu di sini sehingga mayat suami ditemui.

“Saya mahu menatap wajahnya dan membawa pulang jasadnya untuk disemadikan di sebelah kubur arwah abang sulungnya, Amir Nazri yang meninggal dunia 17 tahun lalu akibat lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Syarifah, banyak perkara dan tingkah laku pelik dilakukan suami sebelum kejadian dan setiap perbualan dan tingkah lakunya itu bagaikan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

Katanya, sehari sebelum kejadian, suaminya membeli pakaian, selipar dan telefon bimbit yang semuanya berwarna putih.

“Malah, suami beriya-iya membeli baju Melayu putih dan dipakai pada hari perkahwinan, sebelum mengenakan pakaian pengantin,” katanya.

Menceritakan semula kejadian, Syarifah berkata, mereka keluar daripada rumah keluarganya di Felda Rasau 2, Kerteh pada Jumaat lalu kerana mahu ke rumah saudara di Setiu, manakala ahli keluarga lain keluar pada keesokannya sebelum terus ke Tasik Kenyir.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke Setiu, menerusi perbualan dengan rakannya, suami memberitahu dalam keretanya penuh dengan kain kapan kepada rakannya.

“Suami berkata demikian sebagai alasan apabila rakannya itu berhasrat untuk bersama-sama ke Tasik Kenyir,” katanya.

Sebelum terjun ke sungai, Syarifah berkata, suaminya menanggalkan cincin perkahwinan dan menyarungkan cincin itu pada rantai yang dipakainya.

“Sebelum ini, setiap kali mandi, suami menanggalkan cincin dipakainya dan disarungkan pada jarinya tetapi pada hari kejadian, dia menyarungkan cincin berkenaan pada rantai,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

Syarifah yang juga bekas pelajar sebuah pusat tahfiz di Ibok, Kemaman, berkata, suaminya yang dikenali sejak lima tahun lalu adalah seorang yang sangat baik dan disenangi rakan dan keluarga.

“Pada awalnya saya merancang untuk bercuti di Cameron Highland tetapi terpaksa mengikut kehendak suami yang beriya-iya mahu bercuti di Tasik Kenyir,” katanya.

Katanya, sejak kejadian, dia bersama ahli keluarga tidak putus berdoa, membaca surah Yasin dan solat hajat memohon agar suaminya ditemui dengan segera.

“Saya reda dengan kejadian ini dan menerima suratan takdir walaupun ia pahit untuk ditelan,” katanya sambil mengucup pakaian terakhir dipakai suami.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *