Suami Mahu Jual Rumah, Isteri Bunuh Diri Dan Racun Anak

| November 18, 2020 | 0 Comments

Suami Mahu Jual Rumah, Isteri Bunuh Diri Dan Racun Anak | Jakarta – Seorang ibu muda nekad meracun tiga anaknya termasuk bayi kembar sebelum menggantung diri selepas bercanggah pendapat berhubung cadangan suaminya, lapor portal Kompas baru-baru ini.

Isteri itu dikatakan tidak bersetuju dengan idea suami yang mahu menjual rumah mereka untuk memulakan perniagaan. Kejadian berlaku di Tenayan Raya, Kota Pekanbaru, Riau di Indonesia pada Isnin lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai NSW berumur 27 tahun meninggal dunia di tempat kejadian bersama anak perempuannya ber­usia dua tahun dan salah seorang bayi lelaki, enam bulan.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Pekanbaru, Inspektor Polius Hendriawan berkata, seorang lagi bayi kembar lelaki sempat diselamatkan.

“Mangsa yang meninggal dunia ialah ibu, anak perempuan sulung dan salah seorang bayi kembar lelaki,” kata Polius.

Pasukan penyiasat polis Tenayan Baru turut menjumpai sehelai nota yang ditulis NSW yang menyatakan permohonan maafnya.

“Saya minta maaf, saya ingin pergi (mati) dan biarlah anak-anak ikut saya,” tulis mangsa dalam nota bunuh diri itu.

Sementara itu, Ketua Polis Tenayan Raya, Komisioner M Hanafi Tanjung berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa dan suaminya bertengkar sebelum tragedi berlaku.

Punca pertengkaran adalah disebabkan suami meluahkan hasrat mahu menjual rumah mereka dan hasil jualan itu akan digunakan sebagai modal memulakan perniagaan.

“Mangsa menolak idea itu dan berlaku pertengkaran. Suami meminta NSW keluar menaiki motosikal untuk menenangkan diri tetapi mangsa enggan.

“Setakat ini, tiada punca lain kerana berdasarkan keterangan yang diambil, suami amat me­nyayangi mangsa,” kata Hanafi.

Pihak polis masih menunggu hasil bedah siasat untuk mengesahkan punca kematian.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *