PETALING JAYA – “Maafkan sayang. Niat hanya nak suruh berhenti merokok.”

Setiap kali beralih memasuki tahun baharu, ia bagaikan satu trend bagi rata-rata individu berkongsi ucapan atau highlight yang berlaku kepada mereka sepanjang tahun.

Ada yang berkongsi kisah suka dan duka, kejayaan, kehilangan serta azam ingin cuba dicapai bagi tahun baru.

Wanita ini tidak terkecuali berkongsi kisah yang terus segar dalam ingatannya apabila kehilangan suami pada 13 Januari 2022.

Menurutnya, dia tidak menyangka bahawa gurauan pada hiasan kek sempena menyambut ulang tahun kelahiran suamiya itu menjadi realiti.

“Siapa suruh letak kubur (hiasan) atas kek. Kan dah betul-betul dekat kubur (meningggal dunia),” tulisnya pada video dimuat naik.

Jika diteliti pada gambar yang dikongsikan di TikTok, kek yang diberikan kepada suaminya pada 3 Januari tahun lalu dihiasi replika sekotak rokok serta dua buah batu nisan.

Walaupun ia hanya satu kebetulan, namun sudah pasti rasa bersalah membelenggu wanita ini kerana menurutnya dekorasi kek kubur itu hanyalah sebagai peringatan supaya suaminya berhenti merokok.

“Maafkan sayang. Niat hanya nak suruh berhenti merokok,” jelasnya pada ruangan kapsyen.

Selain itu pada perkongsian sama wanita ini turut berkongsi tentang kehamilan anak pertama mereka pada Januari lalu setelah usia perkahwinan sembilan bulan.

Jelas wanita itu lagi yang memiliki masalah cyst, suaminya merupakan insan paling gembira ketika itu ketika mendapat tahu mengenai berita kehamilan itu.

Lebih memilukan apabila suaminya, seolah-olah mengetahui bahawa dia bakal pergi meninggalkan isteri dan anak yang bakal dilahirkan dengan menitipkan pesanan.

Menurutnya, si suami meminta agar dia membuka buku (rekod kesihatan ibu) di klinik swasta ketika mereka membuat imbasan ultrasound di Klinik Primer Lembah Sireh Dr Siti Sabariah Ismail, Kota Bharu, Kelantan.

Detik hitam dalam hidupnya bermula apabila suaminya terpaksa ditidurkan pada 8 Januari disebabkan demam berpanjangan dengan suhu sekitar 40 darjah selsius selama dua minggu.

Dalam perkongsian sama, dia juga menunjukkan foto anak perempuannya yang selamat dilahirkan 8 Ogos.

Majlis aqiqah dibuat oleh keluarga arwah bagi menyambut kehadiran insan baharu ini pada Disember baru-baru ini.

“Famili ayah (merujuk kepada suaminya) buatkan aqiqah untuk anak kita. Tunaikan janji ayah.

“Tapi ayah janji nak bersanding dengan mummy dan baby masa aqiqah. Tapi ayah tipu,” luahnya yang sedih dengan kehilangan suami.

Perkongsian wanita ini di TikTok berakhir dengan foto anaknya dipegang salah seorang ahli keluarga ketika melawat kubur arwah.

Sebagaimana dikongsikan, kubur tersebut baru sahaja dibaik pulih setelah mengalami kerosakan berikutan banjir berlaku baru-baru ini.

Sumber: MStar

 

Baca Juga: Suami Maut Terjatuh Dan Kepala Terhentak Batu Nisan Kubur Isteri

Seorang lelaki di Gampengrejo dalam wilayah Jawa Timur ditemui meninggal dunia di tepi kubur isterinya selepas dipercayai terjatuh dan kepala terhentak pada batu nisan, lapor laman BeritaJatim, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gamperejo, Asisten Komisioner Sunaryo berkata, hasil pemeriksaan Pasukan Pengecam Polis Kediri dan doktor pusat kesihatan setempat mendapati, tiada kesan penderaan pada tubuh mangsa yang dikenali sebagai Sugeng Prawoto.

“Tiada kesan penyeksaan pada badan mangsa. Daripada maklumat keluarganya, mangsa mempunyai sejarah sakit tua,” kata Sunaryo.

Tambah Sunaryo, pada hari kejadian, mangsa bersama cucunya menziarahi kubur isterinya yang baru meninggal dunia.

Setibanya di lokasi, mangsa melihat kubur isterinya berlubang seperti ada cubaan pencerobohan. Mangsa kemudian mengambil inisiatif mencari tanah untuk membaiki semula kubur isterinya.

“Apabila mangsa sedang menabur tanah untuk menimbus kubur isterinya dalam keadaan mencangkung, mangsa tergelincir lalu terjatuh dan kepalanya terkena pada batu nisan kubur isterinya,” jelas Sunaryo.

Sementara itu, keluarga mangsa reda dengan apa yang berlaku ke atas kedua ibu bapa mereka dan menganggap ia satu insiden yang menyedihkan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply