Suami Rentung Isteri Maut Rempuh Kereta Melintang

| December 14, 2020 | 0 Comments

Suami Rentung Isteri Maut Rempuh Kereta Melintang  | Slim River: Suami isteri maut apabila skuter dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta sebelum kedua-dua kenderaan terbakar di Kilometer 363.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari, mangsa dikenali sebagai Mohamad Nazrul, 41, maut di lokasi manakala isterinya dikenali sebagai Norwahidah, 34, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River (HSR), di sini.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Toyota Altis dengan sebuah skuter Yamaha Xmax.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kereta dipandu lelaki berusia 40 tahun dari utara menuju ke Johor hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan dan melanggar pembahagi tengah jalan.

“Akibat itu, kereta terbabit melintang di tengah jalan dan tiba-tiba datang skuter dinaiki pasangan suami isteri yang tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu belakang sebelah kiri kenderaan terbabit.

“Kejadian itu menyebabkan kereta dan skuter itu terbakar. Penunggangnya maut di tempat kejadian manakala pembonceng pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HSR untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian terbabit pada 12.53 tengah hari tadi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mangsa lelaki disahkan maut di lokasi, manakala seorang wanita pula parah dan dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan, sementara pemandu kereta tidak cedera,” katanya.

Sumber : Hmetro

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *