Suami Sakit. Wanita 66 Tahun Ini Jalan Kaki Merentas Tambak Johor.

| March 29, 2020 | 0 Comments

Suami Sakit. Wanita 66 Tahun Ini Jalan Kaki Merentas Tambak Johor. | Wanita warga emas terpaksa berjalan lebih 1.5 kilometer di Tambak Johor untuk pulang ke Singapura semalam selepas mendapat berita suaminya uzur.

Laila Abdullah, 66 yang ditemani anak saudaranya Amirah Fadhlin, 20, tiada pilihan untuk masuk ke republik itu melainkan berjalan merentas Tambak Johor kerana tiada kenderaan awam dibenarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut anaknya, Herman Sudil, 42, ibunya datang ke Johor Bahru pada 15 Mac lalu untuk menjaga cucu dan menantunya yang baru menjalani pembedahan di sebuah hospital di Johor Bahru.

Herman ketika dihubungi berkata, ibunya datang ke rumahnya di sini sebelum PKP dilaksanakan bagi membantu menjaga anak keduanya yang baru berusia tiga bulan.

Katanya, walaupun mempunyai pembantu rumah, ibunya tetap mahu menjaga cucu dan mahu isteri isterinya fokus kepada kesihatan diri.

“Malangnya bapa tiri saya yang berusia 80 tahun jatuh sakit awal minggu lalu menyebabkan ibu risau dan mahu pulang ke Singapura.

“Sebenarnya bapa tiri menasihatkan ibu supaya tidak perlu risau kerana dalam keadaan sekarang tentu sukar untuk ibu pulang, tetapi ibu membuat keputusan untuk tetap pulang,” katanya.

Menurut Herman, disebabkan PKP tiada kenderaan dibenarkan keluar masuk ke Singapura dan tiada cara lain untuk pulang iaitu dengan berjalan merentas Tambak Johor.

“Ibu tetap mahu pulang dan pada 5.10 petang semalam, ibu pulang dengan ditemani anak saudaranya.

“Syukur mereka tiba di pintu masuk Singapura pada 6.45 petang. Ibu memberitahu dia terpaksa berhenti banyak kali untuk berehat.

Sebaik tiba di Singapura, Laila dibantu dua anggota polis menggunakan kerusi roda hingga ke pejabat imigresen seterusnya ke perhentian teksi.

“Ibu selamat tiba di rumah pada 9 malam. Ibu juga beritahu ada ramai yang balik dari Malaysia dengan berjalan termasuk yang membawa anak kecil dan warga emas,” katanya.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *