Suspek Bunuh Siti Surya Buang ‘Barang’ Dalam Sungai

| November 10, 2020 | 0 Comments

Suspek Bunuh Siti Surya Buang ‘Barang’ Dalam Sungai | Kuala Berang: Kertas siasatan berhubung pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, hampir selesai dan akan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya (TPR), hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kertas siasatan sudah siap lebih 90 peratus dan menunggu arahan seterusnya.

Katanya, pihaknya turut meminta bantuan unit selam bagi mengesan barangan lain yang dikatakan dibuang suspek berusia 19 tahun di Sungai Telemong dekat Kampung Bukit Tadok.

“Setakat ini, kira-kira 20 saksi dipanggil dan senjata juga sudah ditemui di tepi lebuh raya di Telemong pada 4 November lalu. Kita hanya tunggu arahan selanjutnya daripada TPR nanti.

“Ahad lalu, kita ada menggunakan khidmat sembilan pegawai dan anggota Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga untuk mengesan barang kes yang dipercayai dibuang suspek ke dalam sungai berkenaan.

“Suspek mengaku ada membuang barangan yang diambil di rumah mangsa namun kita tidak menemui barangan berkenaan dalam operasi yang dijalankan selama dua jam bermula 3 petang,” katanya.

Sebelum ini, Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan reman suspek disambung tujuh hari lagi sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Harian Metro sebelum ini melaporkan remaja perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang pada 1 November lalu.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *