Susulan Video Pergaduhan Tular Di Maran, 9 Individu Ditahan | Polis menahan sembilan individu yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan susulan video yang tular melibatkan pergaduhan beberapa individu di kawasan Sri Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Nor Zamri Abd. Rahman berkata, kesemua individu berusia antara 23 hingga 59 tahun ditahan semalam dan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Pihak ibu pejabat polis daerah Maran mengesahkan kejadian berlaku pada 11 Jun 2023 lebih kurang pukul 1 petang di kawasan Sri Jaya Maran.
“Terdapat tiga individu yang mengalami kecederaan ringan di dalam kejadian itu dan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya di sini hari ini.
Semalam tular video berdurasi 25 saat yang memaparkan kekecohan dan pergaduhan antara sekumpulan lelaki jalan raya di Sri Jaya di sini.
Menurut Nor Zamri, polis giat melakukan siasatan dan memohon kerjasama semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Pihak polis juga merakamkan terima kasih atas kerjasama daripada masyarakat sehingga pihak polis berjaya menahan suspek yang dikehendaki.
“Ini jelas membuktikan masyarakat sentiasa membantu polis dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah khususnya di bawah pentadbiran Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Maran,” ujarnya.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Menarik Ini :
Seorang Lelaki Dera Anak Teman Wanita Sehingga Cedera Kerana Buat Bising | KUALA LUMPUR – Hanya kerana anak teman wanitanya membuat bising, seorang pempromosi acara sanggup mendera bayi berkenaan sehingga memerlukan rawatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rajang, Setapak, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju, Deputi Superintendan Saralathan Duraisamy berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kes penderaan seorang bayi perempuan warga tempatan berusia satu tahun sekitar pukul 5.05 petang.
Menurutnya, hasil maklumat awal mendapati suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan telah mendera mangsa seorang bayi perempuan dan melarikan diri sebelum ketibaan pihak polis di lokasi kejadian.
“Teman lelaki kepada ibu mangsa itu dikatakan telah mendera mangsa di lokasi kejadian yang merupakan tempat tinggal suspek bersama ibu mangsa.
“Setelah selesai memukul mangsa, suspek bertindak menghantar mangsa ke rumah keluarga ibu mangsa di Jalan Rejang, Taman Setapak Jaya, di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saralathan memberitahu, mangsa yang mengalami bengkak pada bibir, lebam pada kedua-dua mata serta bahagian belakang badan telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Mengulas lanjut, Saralathan memaklumkan, ini bukan kali pertama suspek memukul bayi terbabit tetapi kali ini melampaui batas.
Justeru itu, pihak polis masih mempergiatkan usaha memburu suspek, Amir Shafiq Suhaimi, 31 tahun dan kes masih dalam siasatan pihak polis.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber : Kosmo