Datuk Seri Najib Razak tidak dapat hadir perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya hari ini kerana mengalami masalah cirit-birit sehingga terpaksa dirujuk pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Perkara itu disahkan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Penjara Kajang, Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni yang dipanggil dalam prosiding hari ini bagi memberikan penjelasan mengenai keadaan bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Dr Mohd Hafiz yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, beliau dimaklumkan oleh pembantu pegawai perubatan pada jam 7.15 pagi ini bahawa Najib tidak sihat dan mengalami cirit-birit.
Katanya, beliau kemudian berjumpa Najib yang mengadu sakit perut, loya dan ke tandas empat kali untuk membuang air besar.
“Kemudian saya memberikan ubat kepada Datuk Seri (Najib), bagaimanapun selepas 10 minit keadaan beliau masih tidak berubah. Saya buat pemeriksaan dan dapati beliau turut mengalami kekurangan air dan sedikit demam dengan suhu 37.8 Celsius.
“Saya merujuk Datuk Seri kepada pakar di HKL dan beliau dibawa ke sana pada jam 9.30 pagi. Ketika itu beliau kelihatan penat, lesu dan kekurangan air.
“Pakar di HKL memberikan cuti sakit selama dua hari… Beliau tidak cergas untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah kerana perlu diberi drip yang dimasukkan salam saliran darah dan tidak mampu berdiri sebab duduk terlalu lama,” katanya.
Ketika menjawab soalan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Dr Mohd Hafiz berkata, Najib yang didapati mengalami cirit-birit sejak semalam, dirujuk ke HKL bagi mendapat rawatan yang lebih baik.
Sehubungan itu, Sequerah menangguhkan perbicaran hari ini dan esok, prosiding akan bersambung Khamis ini.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Sumber : Harian Metro
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Kabinet Tak Pernah Bincang Permohonan Pengampunan Diraja Najib – Anthony Loke
Permohonan pengampunan diraja oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan isu pengampunan itu adalah pendirian UMNO sebagai parti politik dan bukan pendirian kerajaan.
“(Permohonan pengampunan) Bukannya pendirian kerajaan. Ia tidak pernah dibawa ke kabinet. Jadi itu bukan pendirian kabinet, tetapi pendirian parti. Pengampunan ini dari segi proses, sesiapa sahaja selepas disabitkan kesalahan boleh memohon pengampunan. Itu adalah proses biasa, dan adil kepada semua pihak,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP meminta orang ramai menaruh kepercayaan kepada proses pengampunan itu, serta kebijaksanaan yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan yang terbaik.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib.
Beliau didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sumber : KMN