Tak Sempat Lari, Lelaki Pecah Masuk Rumah Ditahan

| September 27, 2020 | 0 Comments

Tak Sempat Lari, Lelaki Pecah Masuk Rumah Ditahan | Petaling Jaya: Seorang penjenayah berjaya ditahan polis selepas tindakannya memecah masuk sebuah rumah di sini, awal pagi tadi, disedari pemilik kediaman.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, lelaki berkenaan memecah masuk rumah milik seorang ahli perniagaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian itu disedari pemilik rumah berkenaan selepas melihat suspek yang berada di hadapan kediamannya.

“Dia yang baru pulang melihat suspek yang menaiki motosikal berada di hadapan rumah sebelum menghubungi isteri bertanyakan siapa yang datang ke rumah mereka.

“Lelaki berkenaan kemudian menghubungi polis sebelum pasukan peronda tiba kira-kira 10 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis berjaya menahan suspek yang berusia 42 tahun.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai barang antaranya komputer riba, dua beg galas, dompet, pemutar skru, gunting dan tongkat.

“Suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah, samun dan pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan menghubungi mana-mana balai polis untuk melaporkan aktiviti yang mencurigakan,” katanya.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *