Tak Sempat Makan Ikan Patin, Geng Konvoi Ditahan

| September 20, 2020 | 0 Comments

Tak Sempat Makan Ikan Patin, Geng Konvoi Ditahan  | Perbuatan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya ketika berkonvoi untuk menikmati hidangan ikan patin di sini terbantut apabila mereka ditahan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi Ops Samseng Jalanan hari ini.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan /Kawalan Lalu Lintas / Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, seramai empat lelaki berusia 21 hingga 34 tahun telah ditahan.

Menurutnya, operasi membabitkan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Bukit Aman itu mengesan kumpulan konvoi empat lelaki terbabit pada jam 12 tengah hari yang bersaing sesama sendiri.

“Suspek turut melakukan aksi superman, zig-zag dan menundukkan badan.

“Kira-kira 20 minit kemudian, kesemua mereka tiba di restoran terbabit sebelum pasukan operasi membuat tangkapan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Nadzri berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua motosikal dikesan melakukan kesalahan menutup nombor pendaftaran, selain menanggalkan satu nombor pendaftaran bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Menurutnya, kesemua lelaki terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan direman tiga hari untuk siasatan lanjut, manakala kesemua motosikal jenis Yamaha RXZ dan Yamaha 125Z telah disita.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : SH

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *