Bapa kepada Rosnazirah Mohd Naim, ejen jualan kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki berkata, dia hanya tahu menantu pernah terbabit perniagaan rokok seludup, tetapi bagi kegiatan lain yang menyalahi undang-undang, sama sekali tidak tahu.

'Tak Tahu Menantu Terbabit Dadah'- Luah Mertua Ejen Kosmetik

Warga emas berusia 70 tahun itu berkata, berat hatinya untuk mempercayai bahawa menantunya yang berusia 36 tahun itu terbabit sindiket penyeludupan dadah, kerana lelaki itu banyak menjalankan perniagaan termasuk memelihara haiwan ternakan.

Jelasnya, yang tahu, dia (menantu) ada jual rokok seludup sahaja, selain itu tak tahu dan rasa susah nak percaya.

Tambahnya lagi, tetapi jika betul-betul dia terlibat, kenapa perlu libatkan anaknya, kenapa dia yang diculik? soalnya.

Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, ejen jualan kosmetik berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam kelmarin di Kampung Kuala Jambu.

Siasatan awal pihak polis mendapati suami kepada mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan polis sudah menahan tiga individu berusia 25 hingga 47 tahun termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan.

Warga emas itu berkata, sehingga hari ini dia masih terkilan kerana gagal menyelamatkan mangsa pada petang Selasa lalu ketika sedang bergelut dengan dua lelaki yang mengheret anaknya itu masuk ke dalam kereta.

Katanya lagi, jika tidak difikirkan pistol yang ditunjukkan penjenayah itu, sudah pasti dia akan cuba menyerang demi menyelamatkan anak keenam dari 12 beradik itu.

Tambahnya, dia lebih rela mati demi anak dan ketika kejadian, dia telah diacu sebilah pisau oleh lelaki itu, namun masih cuba melawan sebelum terpaksa berundur apabila mereka mengeluarkan pistol.

Ibu mangsa yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima pula berkata, sehingga kini rasa trauma masih dirasai dan sedikit sebanyak semakin menjejaskan tahap kesihatannya.

Sambil memohon orang ramai mendoakan keselamatan anaknya dan dipulangkan dengan selamat, dia merayu tidak ditularkan berita tidak benar mengenai keluarganya.

Menurutnya, entah bagaimana nasib anaknya sekarang yang katanya sudah dibawa ke negara jiran, hidup atau mati kami tidak tahu…tapi jauh di sudut hatinya, mengharapkan anak ditemukan dengan selamat.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply