KUANTAN – Bimbang dan takut ditangkap kerana kononnya terlibat sindiket pemerdagangan orang, seorang guru kerugian RM187,000 selepas menjadi mangsa penipuan panggilan scam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kejadian bermula, apabila wanita berusia 36 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman pada 10 Mei lalu.
Menurut, mangsa telah diberitahu dirinya terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dimilikinya ke satu akaun bank untuk memudahkan proses siasatan.
“Suspek juga memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai waran tangkap. Mangsa yang bimbang akan dikenakan tindakan tegas mengikut arahan diberikan suspek dan memindahkan wang ke akaun seperti diarahkan.
“Suspek juga meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan untuk melengkapkan siasatan kes itu,” katanya dalam satu Kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 seperti diarahkan suspek dan memindahkan wang itu ke akaun terbabit.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas semua wang dalam akaun itu lesap sebelum membuat laporan polis,” katanya lagi.
Laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kuantan pada Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Diperdaya Scammer Pelaburan, Lelaki Rugi RM 57,800
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kerugian RM57,800 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan Bitfine di aplikasi Telegram.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun berkaitan kes tersebut pada Ahad lalu.
“Pengadu telah berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi Telegram pada 17 Mac lalu, namun dia tidak melayan individu tersebut.
“Pada 27 April lalu, pengadu mula berkomunikasi dengan individu tersebut dan telah berminat dengan pelaburan yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Sukarno berkata, pengadu yakin dengan pelaburan tersebut kerana menerima pulangan sebanyak RM543.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan scammer yang menyebabkan ramai mangsa telah terpedaya.
“Orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau membuat semakan di laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/,” katanya.
Sumber : KMN