Takut Ditangkap Tak Bayar Cukai, Ahli Perniagaan Rugi Lebih RM40 Ribu Ditipu ‘Pegawai’ LHDN | KUANTAN: Gara-gara takut didakwa dan ditangkap kerana tidak menjelaskan cukai, seorang ahli perniagaan lesap wang simpanan sebanyak RM45,400.60 akibat terpedaya dengan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) palsu, kelmarin.

Mangsa yang berusia 32 tahun itu menerima panggilan ketika berada di pasar besar Kuantan daripada suspek yang memperkenal diri sebagai ‘pegawai LHDN’ dan memberitahunya mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM52,978.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, selepas mangsa menafikan perkara itu, suspek bertindak menyambungkan panggilan kepada ‘pegawai polis’ pula yang kononnya bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.

“Suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis menggunakan nama ‘Sarjan Siva’ mengarahkan mangsa mengisi butiran peribadi melalui satu pautan dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp. Tanpa berfikir panjang kerana bimbang dikenakan tindakan, mangsa mengikut arahan itu.

“Mangsa tmengisi butiran diri termasuk nombor akaun bank miliknya dan menyerahkan kepada suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Wazir berkata, mangsa menyemak baki akaun bank semalam dan mendapati berlaku pemindahan wang berjumlah RM45,400.60 ke nombor akaun yang tidak dikenali.

“Mangsa yang menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan telah tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.  Suspek menggunakan modus operandi membuat panggilan kepada mangsa dengan menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis bagi mempengaruhi mangsa hingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihak polis sudah merakam semua keterangan mangsa.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply