Tangan Terikat. Pengasuh Ditemui Dibunuh. | SEORANG pengasuh kanak-kanak ditemui mati disyaki dibunuh di rumahnya di Taman Sutera Idaman di Sungai Petani, hari ini.

Mayat mangsa berusia 58 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di atas lantai bersebelahan katil di bilik tidur utama di rumah berkenaan dengan keadaan tangan terikat dari belakang menggunakan wayar pengecas telefon dan mulut ditutup dengan kain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian disedari oleh bapa kepada anak asuhan wanita itu 7.30 pagi tadi selepas mangsa tidak menyahut panggilan lelaki terbabit.

“Lelaki berkenaan mendapati pintu pagar rumah mangsa berkunci dengan mangga tetapi pintu gelungsur sedikit terbuka. Lelaki berkenaan kemudian menghubungi polis.

“Anggota polis peronda (MPV) yang sampai di rumah berkenaan memanjat bagi melihat dari atas cermin tingkap bilik utama dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di lantai bersebelahan katil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, mangga pada pagar besi rumah terbabit dipotong dengan bantuan jiran sebelum polis masuk ke rumah mangsa dan mendapati wanita itu sudah meninggal dunia.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada kesan pecah masuk dan selongkar di rumah mangsa.

“Mangsa ditemui lengkap berpakaian dan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tidak melebihi 12 jam,” katanya.

Katanya, mangsa dikatakan tinggal seorang diri dan menyewa di rumah berkenaan selepas berpisah dengan suaminya sejak tiga tahun lalu.

“Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply