Tangisan Pelajar Tahfiz Bongkar Isu Penderaan Oleh Pemilik Tahfiz | Pusat tahfiz menjadi pilihan sebahagian ibu bapa yang ingin melihat anak mereka mendalami ilmu agama secara mendalam. Pusat tahfiz juga bertanggungjawab bukan sahaja mendidik malah menjaga mereka. Namun, agak berbeza dengan pusat tahfiz dengan yang lain apabila pemilik yang sepatutnya menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan malah bertindak di luar jangkaan dengan mendera mereka.

Tangisan Pelajar Tahfiz Bongkar Isu Penderaan Oleh Pemilik Tahfiz Haram

Ampang: Pasangan suami isteri yang juga merupakan pemilik tahfiz Taman Tun Abdul Razak, di sini, ditahan polis semalam selepas didakwa terbabit dengan kes penderaan terhadap pelajarnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semuanya bermula apabila bapa mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang berusia 35 tahun pergi ke sekolah anaknya jam 6.30 petang 23 April lalu untuk membayar yuran dan berjumpa anak lelakinya berusia lapan tahun.

Menurutnya, ketika itu dia mendapati mangsa berada dalam ketakutan dan menangis sambil memeluknya sebelum memberitahu bahawa dia tidak mahu bersekolah di situ lagi.

Tambahnya, selepas berbuka dia membawa anaknya pulang ke rumah dan anaknya memberitahu bahawa suspek lelaki ada tumbuk belakang tengkuknya, pukul dengan rotan di kaki dan tangan.

Manakala suspek kedua (isteri) pula ada menampar pipinya sebanyak empat kali. Susulan itu, bapa mangsa tampil untuk membuat laporan polis.

Mohamad Farouk berkata, bertindak di atas maklumat, pihak polis kemudian menahan suspek di pusat tahfiz terbabit pada jam 3.45 petang semalam dan menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia tujuh hingga 15 tahun yang turut mendakwa diri mereka didera.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut dan hasil siasatan mendapati anaknya mengalami kesan kecederaan baru dan lama pada keseluruhan badannya.

Melalui semakan awal yang dijalankan didapati pusat tahfiz itu tidak mempunyai sebarang lesen dari kerajaan tempatan dan kebenaran dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Metro, Astro Awani

Share.

Leave A Reply