Tembak Majikan, Pengawal Peribadi Dihukum Mati

| December 15, 2020 | 0 Comments

Tembak Majikan, Pengawal Peribadi Dihukum Mati | George Town- Seorang pengawal peribadi dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh majikan dan dua individu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, empat tahun lalu.

Tertuduh, Ja’afar Halim, dihukum gantung selepas didapati bersalah membunuh majikannya yang juga ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong, 32, dan dua individu lagi, Choi Hoi Ming. 32, dan Senthil Murugiah, 38.

Dia disabitkan dengan pembunuhan itu, secara menembak menggunakan senjata api di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Bagi setiap kesalahan itu, Ja’afar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian 1 Disember 2016 itu, pengawal peribadi terbabit mengamuk sebelum menembak mati majikannya yang berstatus Datuk.

Media sebelum ini, melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, selain tiga kematian terbabit, empat lagi orang awam turut cedera terkena tembakan dilepaskan suspek.

Antara yang cedera adalah jurukamera sambilan RTM Pulau Pinang, Mohamad Amirul Amin Amir, 27, yang terkena satu das tembakan pada bahu kiri serta seorang kakitangan wanita Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bayan Baru, dikenali sebagai Nurul Huda.

Sumber : BH

Tags: , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *