Tempoh Masa Maksimum Hanya Dua Jam Dibenarkan Berada Di Pusat Beli Belah | Semaakin hari angka bagi jumlah kes penularan Covid-19 semakin meningkat. Hal ini sangat merisaukan masyarakat yang kini masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tempoh Masa Maksimum Hanya Dua Jam Dibenarkan Berada Di Pusat Beli Belah

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Perdagangan Pengedaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bermula esok.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, ia susulan keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan COVID-19 untuk memperketatkan perlaksanaan PKP 3.0.

Menurut beliau, waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan antara jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Katanya, pengecualian hanya membabitkan farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, pusat kesihatan (wellness) dan perkhidmatan perapian diri ‘manicure’ dan ‘pedicure’) dikekalkan antara jam 8 pagi sehingga 10 malam.

Dalam pada itu, beliau tutut berkata, semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah wajib menghadkan jumlah pelanggan dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.

“Tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam,” katanya semalam.

Alexander turut berkata, pemilik perniagaan juga perlu memastikan kapasiti pekerja dihadkan bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus.

Selain itu, beliau berkata, mana-mana premis peruncitan termasuk pusat beli belah yang tersenarai bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditutup serta merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi.

Kelmarin, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan penambahan SOP terhadap sektor ekonomi dalam pelaksanaan PKP 3.0. Pelaksanaan PKP 3.0 itu dengan mengenakan sekatan tambahan dan pada masa sama masih membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi bagi menangani situasi terkini kes Covid-19 yang semakin membimbangkan dan penularan dalam komuniti semakin tinggi di seluruh negara.

Sementara itu, Alexander berkata, langkah diadakan kerajaan itu yang terbaik untuk mengimbangi antara keperluan mengawal penularan Covid-19 dan kelangsungan ekonomi negara terutamanya kedudukan ekonomi domestik.

Katanya, bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan efektif, KPDNHEP akan menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguatkuasa di seluruh negara bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP termasuk pekerja dan juga pelanggan.

Bukan itu sahaja, pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dalam memastikan pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara.

“KPDNHEP tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada MKN untuk menutup serta merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP.

“Kementerian juga berharap langkah mengenakan sekatan tambahan ini akan mendapat kerjasama daripada semua pemain industri bagi memastikan hasrat kerajaan mengurangkan pergerakan orang ramai kecuali untuk tujuan penting sahaja,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply