Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental maut dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, di sini,semalam.
Dalam kejadian jam 7 malam tadi, mangsa berusia 20-an itu dikatakan mengamuk di masjid berkenaan sebelum menendang wanita berusia 50-an yang melalui pekarangan masjid terbabit.
Saksi yang mahu dikenali sebagai Azam berkata, dia pada awalnya melihat mangsa mengamuk di sekitar surau Pasar Kota Jembal, di sini ketika Zuhur sebelum mangsa datang ke masjid berkenaan.
Katanya, mangsa menunaikan solat Asar bersendirian sebelum keluar dan secara tiba-tiba menendang serta menyepak wanita yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan ketika melalui pekarangan masjid terbabit
“Melihat kejadian berkenaan, sekumpulan lelaki membantu wanita itu sehingga berlaku pergelutan menyebabkan mangsa dipukul sebelum didapati tidak sedarkan diri.
“Mangsa dilihat mengamuk beberapa jam sebelum kejadian berlaku, namun tiada yang membuat laporan polis kerana tidak menyangka dia akan mencederakan orang awam,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Tok Guru, Pulau Melaka, di sini, malam tadi.
Berikutan kejadian itu, sekumpulan lelaki berkenaan dibawa menaiki van oleh pihak polis dipercayai untuk membantu siasatan.
Azam berkata, menurut saksi lain mangsa yang dipercayai berasal daripada Pasir Puteh itu menunaikan solat Asar dalam keadaan menangis sebelum secara tiba-tiba mengamuk semula di pekarangan masjid berkenaan.
“Selain itu, mangsa baru pertama kali dilihat berada di kawasan ini dan tidak dikenali oleh jemaah atau penduduk setempat.
“Dia berpakaian seperti orang biasa namun perlakuannya yang menjerit dan menengking orang ramai menunjukkan bahawa mangsa mempunyai masalah mental,” katanya.
Bagaimana pun, sehingga kini polis belum mengesahkan kejadian berkenaan
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBAC
Suami Tergamak Pukul Isteri Dengan Topi Keledar Kerana Tak Mahu Isteri Bekerja
Lelaki yang tular memukul wanita di hadapan sebuah kedai makan pada Khamis lalu, akhirnya ditangkap di sebuah rumah di RKT Kesedar Paloh 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan jam 2.30 petang semalam.
Katanya, suspek yang berkerja sendiri mengaku memukul wanita terbabit yang juga isterinya kerana berlaku perselisihan faham.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah, namun ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine.
“Siasatan mendapati wanita berusia 35 tahun itu adalah isteri kepada suspek.
“Suspek mendakwa berlaku perselisihan faham kerana tidak membenarkan isterinya bekerja dan menyuruh mangsa menjaga ibunya yang sedang sakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas topi keledar berwarna merah yang digunakan untuk memukul wanita berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Semalam media melaporkan polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan video tular seorang lelaki memukul wanita yang dipercayai berlaku di Paloh 2, di sini dan sedang menyiasat kejadian yang berlaku.
Rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki terbabit kerana ‘naik tangan’ malah turut mengecam individu yang merakam kejadian itu kerana tidak menolong wanita berkenaan.
Sumber :KMN