Mayat seorang lelaki tempatan ditemui terapung selepas dipercayai terjun ke dalam kolam takungan air dalam keadaan mabuk di Tasik Puteri Centre Park, Batu Arang, di sini, pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 10.26 pagi sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

Katanya, sebanyak 12 anggota lain-lain pangkat berserta sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi mangsa lemas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang bagi melakukan misi mencari dan menyelamat (SAR).

“Awalnya, BBP Batu Arang menerima maklumat daripada pihak polis yang menyatakan terdapat seorang lelaki tempatan dipercayai dalam keadaan mabuk terjun ke dalam kolam takungan air sekitar pukul 10 pagi semalam.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba telah melakukan kerja-kerja mencari mangsa di dalam kolam takungan air itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa yang berusia 25 tahun itu berjaya dijumpai kira-kira pukul 1.33 petang tadi.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Sumber : Kosmo

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Mayat Lelaki Ditemui Tersangkut Pada Pokok Dengan Kesan 4 Tembakan.

Mayat lelaki dengan empat kesan tembakan di kepala ditemukan tersangkut pada pokok di tebing Sungai Golok di Bukit Bunga, Tanah Merah.

Mayat itu ditemui pada 3 petang semalam oleh lelaki yang memancing berhampiran Pangkalan Haram Belakang Berek 12.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat itu yang hampir reput dan hanya berseluar.

“Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya kematiannya sudah lebih dua minggu dan proses pengecaman agar sukar dibuat.

“Begitu juga dengan kesan tembakan, kita percaya mangsa ditembak dalam jarak dekat namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui jenis pistol yang digunakan.

“Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Tanah Merah dan kita juga akan melihat kesan lain di badan termasuk kesan suntikan imunisasi BCG serta dapatkan cap jari untuk ujian DNA (asid deoksiribonukleik),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, hebahan sudah dibuat di semua daerah, sama ada terdapat laporan orang hilang dan sebagainya.

Katanya, hebahan sama turut diuar-uarkan di negara jiran, manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Terdahulu, beliau hadir di Balai Polis Wakaf Bharu yang memenangi balai polis terbaik dalam Majlis Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2021.

Sementara itu berhubung empat anggota polis yang terbabit dalam siasatan kes samun dan cabul di Tanah Merah, Muhamad Zaki berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

“Kita perlukan masa untuk meneliti dan mengambil beberapa kenyataan lagi, sebelum laporan dihantar kepada pihak atasan,” katanya yang memberitahu tindakan akan diambil terhadap anggota yang menyalahi peraturan.

Rabu lalu, empat konstabel dan koperal polis ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 395 / 354 KK.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply