Terkejut Ditegur Polis Berduaan Dlm Kereta. Pasangan Kekasih Pecut Lari. | JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan pasangan kekasih selepas berlaku aksi kejar-mengejar dengan suspek yang menaiki kereta jenis Proton Pesona di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Johor Bahru sehingga Ayer Hitam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, enam buah Unit Kereta Peronda (MPV) dari JBS dan empat unit MPV dari IPD Johor Bahru Utara (JBU) terlibat mengejar suspek sehingga ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam, pada malam Selasa.

Katanya, kejadian pada kira-kira jam 11.30 malam itu berlaku apabila anggota polis yang sedang membuat Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan rekreasi Adda Height ternampak sebuah kereta Proton Persona dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek terus mengundurkan kereta dan melanggar kereta MPV polis serta melarikan diri.

“Berlaku aksi mengejar sehingga suspek berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam. Suspek ditahan terdiri daripada pemandu lelaki tempatan berusia 20 tahun dan wanita berusia 18 tahun.

“Hasil soal siasat awal mendapati kedua suspek melarikan diri kerana sedang berdua-duaan dalam kereta dan terkejut apabila melihat kereta peronda MPV polis menghampiri kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Menurut Raub, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua suspek tiada kes jenayah atau kes berkaitan dadah.

“Polis turut merampas Proton Persona yang digunakan suspek, telefon bimbit dan wang tunai RM168. Kedua-dua suspek direman empat hari bermula Rabu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu),” katanya.

Sebelum itu, dua video masing-masing berdurasi seminit 24 saat dan 10 saat memaparkan beberapa kenderaan MPV polis dengan siren yang dibunyikan sepanjang jalan sedang mengejar sebuah kereta Persona di Jalan Skudai tular di media sosial.

Sumber : SH

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

Cubaan Lelaki Bawa Lari 5 PATI Gagal Apabila Dikejar Polis

Cubaan seorang tekong darat untuk membawa lari lima orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua wanita menggunakan sebuah kereta gagal apabila mereka ditahan pihak polis di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, suspek yang berusia 31 tahun dicekup selepas polis menahan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandunya berhampiran simpang kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas dikejar sejauh 15 kilometer.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian itu, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menjalankan pemeriksaan ‘snap check’ di Jalan Gua Musang-Mentara Lama di sini.

Katanya, bagaimanapun, anggota polis melihat sebuah kereta membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya bertindak memecut laju menghala ke bandar Gua Musang.

“Anggota polis mengekori kereta suspek menghala ke bulatan Tanah Putih di sini sebelum melihat kereta tersebut dipandu secara melulu dan berbahaya selain melanggar lampu isyarat.

“Selepas 20 minit dikejar dan enggan berhenti, suspek tiba-tiba bertindak mengubah laluannya dengan memasuki simpang kuaters TNB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Choon Foo, insiden itu menyebabkan anggota polis tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum merempuh belakang kereta yang dipandu suspek lalu terbabas di dalam longkang.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta itu telah membawa kepada penemuan seramai lima orang PATI warga Myanmar termasuk dua wanita berusia 16 hingga 42 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek merupakan seorang penyeludup PATI dan menerima upah sebanyak RM250 untuk setiap seorang yang dibawanya.

“Lelaki itu dipercayai mengambil kesemua PATI itu di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang untuk dibawa ke Bentong, Pahang.

“Pemeriksaan ke atas suspek turut menjumpai pil kuda dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Tambah Choon Foo, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply