TERKINI. Ini Keputusan Muktamad DS Ismail Sabri Dan 31 MP BN. | KUALA LUMPUR – Kesemua 31 ahli Parlimen UMNO tidak akan meletak jawatan atau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, mereka berpendirian untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbiran.
Menurutnya, Seri Paduka Baginda telah berkenan agar keabsahan kerajaan PN ditentukan di Parlimen dengan satu usul percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat nanti.
“Jadi jelas bahawa, Seri Paduka Baginda mahu Parlimen diadakan dan penentuan untuk sama ada kerajaan hari ini boleh berfungsi selepas September.
“Ini jelas pihak Istana Negara tidak lagi menerima surat akaun SD atau pun surat-surat sokongan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.
Susulan daripada itu, UMNO menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat selepas kegagalannya dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau terhadap titah Agong supaya Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan.
Menerusi perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah turut meletak jawatan dari kabinet susulan kepatuhannya pada arahan parti.
Sumber : SH