Terkini. Polis Selangor Sahkan Kematian Adib Kini Masuk Dalam Kes Bunuh | Seluruh negara berdukacita dengan kematian Adib. Terkini Polis Selangor sahkan klasifikasi kes siasatan berubah kepada kes bunuh. Ikuti laporan penuh.
KLASIFIKASI KES DARI CUBAAN BUNUH KEPADA KES BUNUH
Polis mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim daripada cuba bunuh kepada bunuh.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, berkata kes berkenaan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian Muhammad Adib ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
“Kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba bunuh, ekoran kecederaan yang dialami oleh Muhammad Adib dalam kejadian di Seafield, Subang Jaya pada 26 November lalu.
“Namun kes itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Muhammad Adib, 24, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu.
Semalam, pihak IJN memaklumkan tahap kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.
Pihak IJN mengambil keputusan memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada jam 9 malam semalam untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.
Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, mengesahkan Muhammad Adib meninggal dunia dalam satu sidang media di IJN tadi.
Sumber: Berita Harian
KERAJAAN SELANGOR BERDUKACITA DENGAN KEMATIAN ADIB
Kerajaan Selangor turut berdukacita atas pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan.
Menteri Besar, Amirudin Shari, dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi, berkata kerajaan Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
“Kerajaan Selangor berdukacita atas pemergian beliau dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
“Saya mengulangi keyakinan saya akan kemampuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes ini.
“Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.
“Semoga roh Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama syuhada dan solihin,” katanya yang kini sedang menjalani ibadah umrah.
Semalam, IJN dalam kenyataan menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam sebelum itu.
Selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru anggota bomba itu didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, justeru menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.
Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.
Sumber: Berita Harian