Terkini Putrajaya, Rembau, Jasin Diisytihar Zon Merah

| April 6, 2020 | 0 Comments

Terkini Putrajaya, Rembau, Jasin Diisytihar Zon Merah | PUTRAJAYA, Jasin dan Rembau kini diletakkan sebagai kawasan zon merah jangkitan Covid-19 menjadikan sebanyak 21 kawasan diisytiharkan sebagai zon merah berbanding 18 kawasan kelmarin.

Info grafik dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mendedahkan Putrajaya mencatatkan 41 kes semalam manakala Jasin (42) dan Rembau (41).

Berdasarkan rekod kelmarin, ketiga-tiga kawasan berkenaan berada di zon jingga namun melonjak kepada zon merah berikutan terdapat peningkatan kes baharu.

Pengisytiharan zon merah apabila terdapat lebih 41 kes di kawasan berkenaan.

Kelmarin, Putrajaya merekodkan 37 kes meningkat empat kes, begitu juga Jasin meningkat empat kes berbanding 38 kes manakala Rembau meningkat satu kes berbanding 40 kes.

Lembah Pantai masih tertinggi kes jangkitan itu dengan merekodkan 386 kes manakala Kepong (116), Titiwangsa (93) dan Cheras (45).

Kawasan zon merah lain adalah Petaling yang merekodkan 296 kes, Hulu Langat (324), Gombak (110), Klang (112), Seremban (162), Batu Pahat (47), Johor Bahru (145), Kluang (170), Jerantut (61), Kota Bharu (82), Hilir Perak (65), Kinta (87), Kuching (174) dan Tawau (67).

Selain itu, terdapat 19 kawasan diletakkan sebagai zon jingga iaitu Kuala Selangor mencatatkan 30 kes, Sepang (39), Kuala Langat (22), Hulu Selangor (27), Alor Gajah (25), Melaka Tengah (33), Kulai (24), Muar (30), Kuantan (36), Pekan (23), Besut (29), Dungun (27).

Manakala Kota Setar (24), Kuala Muda (33), Seberang Perai Tengah (37), Timur Laut (27), Kota Samarahan (36), Kota Kinabalu (34) dan Lahad Datu (38).

Sebanyak 29 daerah pula kekal zon hijau sejak 1 April lalu, tetapi malangnya daerah Keningau, Sabah, yang dulunya tiada kes kini mencatatkan satu kes positif.

Sumber : Harian Metro

Tags: , , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *