Terperangkap Ketika Cuba Larikan Diri, Wanita Pesakit Covid Diselamatkan Bomba | Padah ingin melarikan diri dari hospital melalui luar tingkap hospital, wanita yang merupakan pesakit covid-19 ini dikatakan gagal melakukan hal tersebut selepas dia terperangkap di Tingkat 1, Hospital Keningau, baru-baru ini.
Namun begitu, usaha menyelamat berjaya dilakukan selepas pasukan Bomba dan Penyelamat Keningau tiba di lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pada jam 6.19 pagi.
Wanita tersebut difahamkan telah dimasukkan semula ke wad Hospital Keningau sejak semalam.
Ketua BBP Keningau, Sharudy Delamin berkata, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
Jelasnya, sebaik mereka tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terperangkap di tingkat satu bahagian luar bangunan Hospital Keningau.
Pasukan bomba yang lengkap memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kemudiannya menjalankan operasi menyelamat menggunakan tangga untuk membawa mangsa turun.
mangsa dilaporkan telah ibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi terkawal pada jam 7.20 pagi sebelum ditamatkan 19 minit kemudian selepas tiada lagi insiden bahaya di lokasi kejadian.
Sumber: Astro Awani