Terputus Hubungan Dengan Pusat Kawalan, Helikopter Jenis Eurocopter Dilapor Hilang  | Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter jenis Eurocopter telah terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Kuala Lumpur pada pukul 12.16 tengah hari tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, helikopter berkenaan dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada pukul 11.37 pagi sebelum terputus hubungan 39 minit kemudian dengan menara kawalan udara.

“Saya baharu terima laporan insiden berkenaan pada pukul 1 tengah hari tadi di mana saya terima panggilan daripada Ketua Pegawai Eksekutif CAAM dan telah menghubungi beliau semula selepas itu bagi mendapatkan status terkini.

“CAAM dengan kerjasama PDRM Bidor telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari lokasi sebenar helikopter tersebut berdasarkan kepada prosesur yang telah ditetapkan dan satu kenyataan penuh akan dikeluarkan kelak oleh CAAM,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas lawatan ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Ipoh di sini hari ini.

Menurut Ka Siong, helikopter milik syarikat swasta yang dipandu seorang juruterbang berkenaan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada pukul 12.37 tengah hari tadi namun terputus kawalan 21 minit sebelum itu.

Katanya, lokasi sebenar helikopter berkenaan hilang masih belum disahkan, namun berdasarkan laporan awal diterima ia terputus hubungan ketika melewati hutan di sekitar Bidor, Perak.

“Kalau ikut radar dia memang sudah ada di atas tanah, kita nak tahu, selagi belum dapat maka kita tidak boleh buat sebarang andaian dan satu laporan lengkap, dalam bentuk kenyataan akan dikeluarkan oleh CAAM.

“Kita akan lakukan usaha yang terbaik untuk kita lakukan kerja-kerja pencarian yang penting kita dapat kerjasama dengan pihak PDRM dan kita akan kerah semua pasukan agensi berkenaan untuk mencari helikopter tersebut,” katanya.

Sumber : Kosmo 

Share.

Leave A Reply