Thailand Dilanda Jerebu, 200,000 Orang Masuk Hospital | Hampir 200,000 orang dimasukkan ke hospital di Thailand kerana pencemaran udara pada minggu ini, kata beberapa pegawai ketika kota Bangkok diselubungi jerebu berbahaya.
Bangkok yang mempunyai 11 juta penduduk dan merupakan antara destinasi pelancongan paling popular di dunia telah diliputi jerebu selama beberapa hari, dipercayai berpunca daripada campuran asap kenderaan, pelepasan industri dan pembakaran tanah pertanian.
Lebih 1.3 juta orang jatuh sakit di Thailand akibat pencemaran udara sejak awal tahun ini, dengan hampir 200,000 dimasukkan ke hospital pada minggu ini sahaja, demikian menurut Kementerian Kesihatan Awam.
Doktor kementerian berkenaan, Kriangkrai Namthaisong semalam menggesa kanak-kanak dan wanita hamil supaya berada di rumah.
Katanya, sesiapa sahaja yang berada di kawasan terbuka perlu memakai topeng antipencemaran N95 berkualiti tinggi.
Ketika kemuncak pencemaran berlaku pada akhir Januari dan awal Februari lalu, pihak berkuasa di bandar-bandar menggesa orang ramai untuk bekerja dari rumah.
Jurucakap Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengeluarkan satu lagi perintah serupa jika keadaan menjadi lebih teruk.
Kementerian Kesihatan Awam berkata, sebanyak 50 daerah di Bangkok semalam merekodkan paras tidak selamat zarah halus paling berbahaya dinamakan PM2.5, manakala kandungan pencemaran itu hari ini turut jauh melebihi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Paras PM2.5 telah melebihi had selamat untuk kebanyakan kawasan di Bangkok sejak tiga hari lalu, demikian menurut jabatan kawalan pencemaran kerajaan.
Keadaan menjadi lebih teruk di bandar Chiang Mai, utara Thailand di mana petani membakar tunggul tanaman pada masa ini.
Sumber: Kosmo
Artikel Lain
Racun Misteri Menjejas 5,000 Pelajar
Racun Misteri Menjejas 5,000 Pelajar | Iran mengumumkan penahanan pertama suspek yang disyaki menjadi dalang siri keracunan misteri membabitkan 5,000 pelajar sekolah, sejak akhir November lalu.
Pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei menyeru pada Isnin supaya suspek dikesan ketika kemarahan orang ramai memuncak.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan sebilangan individu yang disyaki menghasilkan bahan berbahaya ditangkap di enam wilayah, termasuk ibu bapa seorang pelajar.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Iran, Majid Mirahmadi, memberitahu televisyen tempatan pada awal Selasa, badan perisikan membuat beberapa tangkapan, dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan penuh.
Sebilangan besar sekolah di Iran terkena keracunan sejak akhir November, dengan pelajar mengalami gejala sesak nafas hingga loya dan vertigo, selepas terhidu bau tidak menyenangkan di kawasan sekolah.
Insiden itu juga mengakibatkan beberapa pelajar dirawat di hospital.
Sebanyak 25 daripada 31 wilayah dan kira-kira 230 sekolah terjejas. Lebih 5,000 pelajar perempuan dan lelaki terkena keracunan.
Mohammad-Hassan Asafari, ahli jawatankuasa pencari fakta parlimen, memberitahu agensi berita Isna, Isnin lalu berkata bahawa pelbagai ujian dijalankan bagi mengenal pasti jenis dan punca keracunan. Setakat ini, tiada maklumat khusus diperoleh berhubung jenis racun yang digunakan.
Keracunan misteri itu mengundang kemarahan orang ramai yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, tangkapan dibuat di wilayah Khuzestan, Azerbaijan Barat, Fars, Kermanshah, Khorasan dan Alborz.
Katanya, salah seorang daripada mereka yang ditahan didakwa menggunakan anak mereka untuk membawa ‘bahan yang merengsa’ ke sekolah, kemudian merakam video pelajar sakit bertujuan mewujudkan persepsi, menimbulkan ketakutan dan menutup sekolah.
Tiga suspek terbabit didapati mempunyai rekod jenayah termasuk pembabitan dalam ‘rusuhan baru-baru ini’, istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa Iran untuk menggambarkan protes yang dicetuskan susulan kematian Mahsa Amini.
Sumber: Harian Metro