Tiada Kad UNHCR, Isteri Meraung Minta Imigresen Lepaskan Suami

| November 24, 2021 | 0 Comments

Tiada Kad UNHCR, Isteri Meraung Minta Imigresen Lepaskan Suami | KOTA BHARU – Seorang wanita etnik Rohingya hanya mampu meraung meminta anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) agar melepaskan suaminya yang ditahan selepas gagal mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di sebuah kedai makan di Kubang Tin, Melor di sini semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu menangis sambil mendukung anak lelakinya berusia setahun apabila suaminya itu merupakan salah seorang daripada 16 etnik Rohingya yang dicekup dalam serbuan yang dijalankan oleh Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) dengan kerjasama JIM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Penolong Setiausaha MDKPI, Nik Muhammad Syahmi Nik Mohd. Azlan berkata, lelaki itu ditahan di sebuah kedai makan yang disewanya selepas dia gagal mengemukakan kad UNHCR semasa serbuan dijalankan.

Menurutnya, operasi tersebut bermula pukul 5 petang hingga 8 malam semalam itu dijalankan di empat lokasi iaitu Kampung Kubang Tin, Melor Lama, Jambu Merah dan Kok Lanas di sini.

“Selain lelaki itu, kita turut menahan seorang etnik Rohingya yang dipercayai merupakan pendakwah berusia dalam lingkungan 50-an bersama 14 suspek lain termasuk wanita dan kanak-kanak selepas gagal mengemukakan kad UNHCR.

“Operasi dijalankan di kawasan itu selepas kita menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa etnik Rohingya di situ tidak menjaga kebersihan selain sering menyelongkar tong sampah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi tangkapan warga Rohingya di sini semalam.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *