Tidak Lakukan Saringan Kedua Covid-19. Ini Tindakan Polis.

| July 25, 2020 | 0 Comments

Tidak Lakukan Saringan Kedua Covid-19. Ini Tindakan Polis. | Bermula esok, polis akan menahan dan mendakwa individu yang belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri. Covid-19

Dalam kenyataannya hari ini beliau berkata, individu terbabit telah diarahkan menghubungi pejabat kesihatan daerah berdekatan untuk menjalani ujian saringan kedua berkenaan.

Bermula 24 Julai lalu, kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan koronavirus (Covid-19).

Keputusan itu dibuat berikutan sikap segelintir individu yang pulang ke tanah air melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dengan keluar serta berada di tempat awam selain menanggalkan gelang tangan yang wajib dipakai dalam tempoh tersebut.

Menurut Ismail Sabri, setakat ini seramai 839 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di enam stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Mereka pulang dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia,” katanya.

Sementara itu, seramai 617 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu, 20 individu direman manakala 597 lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pub dan kelab malam serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya.

Berkenaan penyebaran berita palsu, Ismail Sabri berkata, sehingga semalam 266 kertas siasatan dibuka dengan 172 masih dalam siasatan manakala 30 kes didakwa di mahkamah, 12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 mengaku bersalah.

Pada masa sama, sebanyak 357 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

Sumber : Sinar Harian

Tags: , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *